Surat wasiat pemudi Palestin
Pernah sekali semasa saya sedang membaca isu-isu terbaru sekitar Intifadhah al-Quds di laman Facebook, perhatian saya tertarik dengan sebuah gambar yang memaparkan surat wasiat yang telah ditulis oleh seorang pelaksana operasi tikaman di Tebing Barat yang telah syahid. Beliau adalah seorang gadis muda dari Qalqilya, Rasha Uwaisi. Beliau syahid akibat tembakan peluru hidup yang dilepaskan tentera Zionis selepas cubaan beliau melakukan operasi tikaman berdekatan sebuah checkpoint tentera, umurnya baru mencecah 23 tahun.
“Aku memilih jalan ini dalam keadaan aku sedar diri, demi mempertahankan tanah airku, pemuda juga pemudinya!”, ujar Rasha dalam surat wasiatnya.
Intifadhah al-Quds atau nama lainnya Intifadhah as-Sakakin yang telah dilancarkan sejak awal Oktober 2015 di Palestin khususnya Tebing Barat telah menggegarkan seluruh bumi terjajah. Sejak tarikh itu, rakyat Israel tidak senang duduk di dalam negara yang mereka dakwa sebagai negara yang paling kuat dan paling aman di atas muka bumi. Mana tidaknya, setiap hari ada sahaja cubaan menikam dengan pisau yang dilakukan oleh rakyat Palestin terhadap bangsa penjajah Zionis. Ada juga yang menyerang dengan rempuhan kereta dan tembakan senjata api. Begitulah hakikat yang berlaku sekarang di dalam sempadan terjajah tersebut sejak bermulanya Intifadhah. Bangsa Zionis sentiasa berada di dalam keadaan cemas dan takut di dalam negara jajahan mereka sendiri!
Dalam pada itu, bilangan rakyat Palestin yang terkorban di Tebing Barat semakin meningkat. Kebanyakan mereka yang melaksanakan operasi-operasi tikaman, rempuhan, dan tembakan berjaya diberkas oleh pihak keselamatan Zionis. Kebanyakan mereka telah dibunuh serta merta di tempat kejadian. Sehingga pertengahan bulan Ogos 2016 sahaja dilaporkan seramai 217 orang rakyat Palestin telah gugur syahid sejak Intifadhah dilancarkan. Semoga Allah kurniakan syurga buat mereka yang telah ikhlas berjuang mempertahankan bumi umat Islam sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Dalam tempoh beberapa bulan selepas saya membaca surat wasiat Rasha Uwaisi, saya terjumpa beberapa lagi surat wasiat tulisan pemuda-pemudi Palestin yang telah syahid selepas melakukan operasi-operasi mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa. Kebanyakan mereka ditembak dan mati di tempat kejadian. Surat wasiat mereka kemudiannya ditemui oleh ahli keluarga mereka dan disebarkan kepada umum untuk diambil manfaat, menjadi pembakar semangat buat anak muda lainnya untuk bersungguh-sungguh mencari syahid.
“Aku berharap kamu semua membenarkan pemergianku, dan aku berharap kepada Allah agar mengurniakan kepadaku mati syahid, mati syahid, mati syahid!”
“Janganlah kamu bersedih atas kesyahidanku, tetapi bersedihlah ke atas apa yang akan terjadi kepada kamu nanti…”
“Kehadapan ibuku dan ayahku yang tercinta, izinkan pemergianku, sesungguhnya aku telah syahid dengan izin Allah…”
Sebak. Begitulah antara sedikit isi kandungan surat wasiat yang telah ditinggalkan oleh mereka yang telah tekad untuk mati ditembusi tembakan peluru tentera Zionis, dan akhirnya Allah telah membenarkan niat mereka dan kurniakan mereka anugerah mati syahid di tanah air mereka sendiri.
Hakikat kematian dan kehidupan
Sepertimana Rasha Uwaisi, seorang gadis muda dari Qalqilya yang telah tekad untuk mengakhiri tempoh hayatnya dengan tembakan peluru tentera Zionis, apakah yang menyebabkan beliau memilih jalan ini sedangkan beliau boleh sahaja memilih untuk tetap tinggal di rumah dan menjalani kehidupan seperti gadis Palestin biasa, mungkin berkahwin dan membesarkan waris-waris pejuang (beliau telah bertunang), menentang penjajahan dengan cara demonstrasi dan boikot. Boleh sahaja beliau memilih untuk tidak melakukan percubaan menikam tentera Zionis dengan pisau pada hari tersebut, tetapi sebaliknya beliau telah memilih untuk mati dalam keadaan yang paling mulia, mati mempertahankan tanah air dan kesucian Masjid al-Aqsa, mati dalam usaha memerdekakan anak bangsa dari cengkaman penjajahan Zionis. Inilah jalan pilihan Rasha Uwaisi dan ratusan pemuda Palestin lain yang turut syahid sepanjang Intifadhah Al-Quds.
Inilah realiti kebanyakan pemuda dan pemudi Palestin, hidup di dalam tekanan penjajahan bangsa asing menyebabkan jiwa mereka kental dan teguh. Hidup terbuang di dalam negara sendiri menjadikan semangat juang mereka sentiasa berkobar-kobar, cita-cita untuk bersujud di perkarangan Masjid al-Aqsa dalam keadaan merdeka jiwa dan raga sentiasa diulang-ulang dan diwarisi dari generasi ke satu generasi. Hakikat pahit yang perlu ditelan bahawa negara mereka sedang diratah sedikit demi sedikit sejak tahun 1948 menjadikan diri mereka sentiasa bersedia untuk mengorbankan apa sahaja asalkan tanah air mereka bebas, sekalipun harga yang dituntut adalah darah. Mereka sedang menghadapi pertembungan yang real dan tampak.
Hari-hari mereka yang berlalu melihat kematian demi kematian di depan mata menyebabkan keyakinan mereka terhadap hakikat sebenar kehidupan dan kematian di dunia semakin meningkat. Melihat saudara mara mereka mati ditembak, dihempap batu-batu runtuhan rumah sendiri akibat bedilan bom tentera Zionis, ditangkap, diseksa dan dicacatkan anggota badan menyebabkan mereka menjadi kelompok manusia yang paling sedar akan hakikat nyawa manusia itu sangat rapuh dan tempoh kehidupan mereka di dunia ini adalah sangat singkat. Hidup terlalu lama di dalam medan peperangan, melihat seorang demi seorang saudara mara mereka mati perlahan-lahan akibat kelaparan atau penyakit selepas terputus bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan menyebabkan mereka menjadi kelompok manusia yang paling sedar akan hakikat kehidupan selepas kematian itu benar dan maha luas.
“Kita adalah bangsa yang mencintai kematian, sebagaimana musuh-musuh kita mencintai kehidupan…”
– Ismail Haniyeh, Mantan Perdana Menteri Gaza
Hakikat-hakikat yang mereka belajar daripada siri-siri kehidupan mereka memaksa mereka untuk memilih cara kematian yang paling baik. Kerana mereka tahu bahawa kematian itu pasti akan datang menjenguk, mereka faham bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk diisi dengan perjuangan yang salah dan sia-sia, dan mereka sedar bahawa kehidupan selepas kematian itu adalah kehidupan yang sebenar. Kefahaman terhadap hakikat-hakikat ini menolak mereka untuk melakukan sebuah jual beli yang sangat menguntungkan, jauh lebih berharga daripada longgokan emas dan perak, mereka telah menjual darah, harta, keluarga, anak-anak dan seluruh kehidupan mereka untuk membeli sebuah istana besar di negeri akhirat!
“Dan janganlah kamu bersedih sekiranya mereka menghancurkan rumah-rumah kamu, kerana dengan izin Allah akan dibinakan untuk kita sebuah rumah di syurga,” kata Ahmad Toha, salah seorang pemuda Palestin yang syahid semasa Intifadhah al-Quds di dalam surat wasiatnya. Beliau telah berjaya membunuh seorang tentera Zionis dan mencederakan dua yang lain dalam sebuah operasi di Ramallah, seterusnya beliau ditembak dan syahid di tempat kejadian. Umurnya ketika itu baru mencecah 20 tahun.
Kita mahu kematian yang macam mana?
Melihat kesungguhan dan keseriusan pemuda pemudi Palestin dalam mencari syahid sepatutnya menjadikan kita insaf. Sungguh, mereka telah merancang kematian mereka dengan sebaik-baik kematian sesuai dengan realiti kehidupan dan keadaan persekitaran mereka di tanah air mereka ketika ini.
Dalam pada kita sibuk merancang kehidupan, kita selalu terlupa untuk merancang kematian. Pernah kah sekali kita soal diri sanubari kita, “Kematian yang bagaimanakah yang aku mahukan?”. Manusia sering berbicara tentang kehidupan dunia, sedikit sekali mereka berbicara tentang kehidupan selepas kematian sedangkan itulah kehidupan yang sebenar. Hal ini berlaku kerana kaburnya kesedaran terhadap hakikat-hakikat kehidupan dan kematian di dunia menyebabkan mereka buta dan lupa terhadap dunia akhirat.
Dalam konteks dan realiti Malaysia, kita tidak dituntut untuk mengangkat senjata sebagaimana saudara saudari kita di Palestin, tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah untuk mempunyai sebuah perjuangan yang benar dan bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan perjuangan tersebut. Kita perlu mengenalpasti identiti pihak musuh di dalam dan luar negara, memikirkan strategi terbaik untuk menghadapi serangan dan tipudaya mereka dan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha mempersiap bala tentera bagi mempertahankan agama dan tanah air dari sebarang ancaman dalaman dan luaran dari pihak musuh yang tidak akan pernah berhenti berusaha merosakkan agama dan tanah air umat Islam.
Sekiranya kita jujur dalam memperjuangkan agama Islam dan kebenarannya, seterusnya kekal sentiasa dalam keadaan memperjuangkannya, hidup dan mati dalam perjuangan tersebut, nescaya kita juga akan mendapat sebaik-baik kematian sama seperti Rasha Uwaisi dan pemuda-pemudi Palestin lain yang telah syahid mendahului kita.
Akhir sekali, soal semula diri kita, “kematian yang bagaimanakah yang aku mahukan?”. Rancanglah kematian kita, seterusnya rancanglah kehidupan kita sesuai dengan jalan-jalan untuk mencapai kematian tersebut. Kerana kematian itu datang selepas kehidupan yang pertama, dan ianya adalah sesuatu yang pasti. Sekiranya kita jujur, Allah pasti akan membenarkan.
عن أبي يعلى شداد بن أوس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “ الكيس من دان نفسه، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من أتبع نفسه هواها، وتمنى على الله الأماني” (رواه الترمذي وقال حديث حسن).
Dari Abi Ya’la Shaddad Bin Aus RA dari Nabi SAW berkata: “Orang yang bijak adalah orang yang muhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati, manakala orang yang lemah pula adalah orang yang dirinya mengikuti hawa nafsunya, kemudian berharap kepada Allah dengan pelbagai pengharapan” (Hadis riwayat at-Tirmidhi beliau berkata ianya hadis hasan).
Rusyaidi Pauzi
Tahun 4 Fakulti Usuluddin Jabatan Hadis
Universiti Al-Azhar Kaherah