KUALA LUMPUR: Mualaf yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang sebelum ini menghafaz 10 juzuk Al-Quran, kini bergelar Al-Hafiz.
Dalam perkongsian di Facebook Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Mike Foong, 25 tahun, berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk Al-Quran pada semester akhir Program Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran, JAKIM.
Katanya, Mike bukan sahaja menghafaz, malah dia juga telah menulis keseluruhan al-Quran tersebut dengan tulisan braille seperti yang ditetapkan dalam proforma Program berkenaan.
“InsyaAllah, Mike yang kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran JAKIM akan diraikan bersama kawan-kawannya dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang dijadualkan pada 5 Mac 2022. Doakan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad meluahkan rasa sebak serta kagum dengan pencapaian mualaf itu.
Idris berkata pendorong kejayaan Mike adalah ibu bapanya yang beragama Buddha kerana tidak menghalang anaknya untuk memeluk Islam dan menghafal Al-Quran.
“Malah ibunya sentiasa berulang alik menghantar anak istimewanya ke DQ dan ketika Jumaat sentiasa menunggu anaknya sehingga selesai solat.
“Walaupun seorang OKU penglihatan, tetapi hatinya jernih dan bersih. Benar al-Quran itu cahaya yang menerangi kehidupan kita,” katanya.
–AlHijrah Online
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM