KOTA BHARU: Seorang mualaf dari Slovenia sanggup meninggalkan kemewahan di negara asalnya demi mendalami agama Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Pengkalan Chepa, di sini.
Jonatan Kukucka Abdullah, 25, graduan dari Universiti Ljubljana, Slovenia, yang memeluk Islam pada Julai tahun lalu, membuat keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai jurutera di negara asalnya untuk mendalami ilmu agama di IDIP sejak Jun lalu.
Katanya, dia yang sebelum ini beragama Kristian memilih untuk memeluk Islam kerana jatuh cinta dengan cara hidup serta kehidupan yang lebih tenang dan tenteram.
“Sebelum mengucap kalimah syahadah, saya sudah mempraktikkan cara hidup Islam dengan lebih awal. Saya tidak sesekali menyentuh minuman keras atau makanan yang haram di sisi agama.
“Saya kagum dengan keperibadian Nabi Muhammad SAW yang banyak memberi iktibar dan nilai murni untuk dijadikan contoh sebagai muslim yang baik. Malah, aktiviti sunnah seperti memanah juga menjadi hobi saya.
“Selain itu, Islam bukan saja menekankan ajaran untuk mendekatkan diri kepada pencipta, malah mengamalkan kehidupan yang sihat. Contohnya, solat lima waktu bukan saja sebagai perkara wajib sebagai seorang muslim, tetapi juga untuk dijadikan senaman harian,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program Larian Mahabbah, Mualaf di IDIP, di sini, hari ini.
IDIP ditubuh sejak 1991 dan kini mempunyai 88 pelajar tempatan dan luar negara seperti Myanmar, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Jonatan berkata, lebih bermakna dalam hidupnya apabila dia berjumpa dengan gadis Melayu pilihannya, Nur Dayana Abu Sammah, 23, dari Rawang, Selangor dan sudah mengikatkan tali pertunangan dan akan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
“Saya menemuinya ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Griffin, Ireland. Alhamdulillah, kedua-dua keluarga merestui hubungan kami dan bakal keluarga mentua yang banyak membantu memberi dorongan untuk saya mempelajari Islam.
“Keluarga saya tidah membantah keputusan untuk memeluk Islam, dan memberi kebebasan untuk saya memilih jalan dan cara hidup terbaik,” katanya yang berhasrat kembali ke Ireland selepas berkahwin untuk menimba ilmu perniagaan sebelum kembali menetap di Malaysia. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my