George Town – Umat Islam digesa memboikot konsert artis dari United Kingdom, yang didakwa penyokong tegar komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT), Ed Sheeran.
Konsert artis antarabangsa itu dijadualkan berlangsung pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Artis lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan penyokong tegar komuniti LGBT dan mengibarkan bendera pelangi LGBT dalam konsertnya yang dianjurkan di negara lain.
Mengulas perkara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meluahkan rasa kesal apabila konsert berkenaan dibenarkan diadakan di negara ini.
“Saya menyeru semua umat Islam di negara ini supaya menjauhi konsert itu.
“Ingatlah umat Islam dilarang bekerjasama dalam perkara (yang membawa kepada) dosa atau maksiat seperti yang dinyatakan dalam al-Quran,” katanya hari ini.
Wan Salim berkata, sebagai sebuah negara dengan penduduk majoriti Islam, ruang untuk konsert oleh artis seperti itu yang menyokong amalan yang dilarang bukan sahaja oleh Islam, tetapi juga oleh agama lain.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencegah kemungkaran seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.
“Sebagai mufti, saya rasa bertanggungjawab menggesa kerajaan Malaysia melalui kementerian Komunikasi dan Digital supaya segera menarik balik kebenaran mengadakan konsert itu,” katanya lagi.
Beliau juga meminta pihak berkuasa menghormati pandangan mufti.
“Tambahan pula, pengharaman aktiviti LGBT bukanlah ‘ijtihad ulama’ tetapi berlandaskan ‘nusus syar’iyyah’ yang jelas disebut dalam al-Quran dan Hadis.
“Setiap orang Islam pastinya mengetahui bahawa Islam menolak semua jenis perhubungan yang tidak berdasarkan perkahwinan yang sah.
“Semua agama samawi menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan rakyat ke ambang kehancuran,” katanya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM