Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan umat Islam yang melihat persembahan band British, The 1975 di Good Vibes Festival 2023 untuk memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
Memetik laporan NST, Wan Salim berkata penonton yang hadir ke konsert pada Jumaat lalu itu perlu bertaubat walaupun tidak melakukan dosa.
Jelasnya lagi, walaupun penonton tidak menyangka untuk melihat perbuatan maksiat tersebut, mereka tetap perlu memohon ampun kepada ALLAH.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Islam tidak menentang hiburan termasuk konsert, drama, filem dan seumpamanya.
Yang dilarang ialah hiburan dan sebarang aktiviti yang boleh merosakkan minda dan tingkah laku penonton atau peminat
Oleh itu, Wan Salim menasihati umat Islam yang hadir ke konsert itu supaya memohon keampunan kepada ALLAH, walaupun perbuatan maksiat itu dilakukan tanpa diduga di hadapan mereka.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Konsert kumpulan rock Britain, The 1975 di Sepang dihentikan serta merta selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Healy, penyanyi utama di Festival Good Vibes itu juga mengutuk undang-undang berkaitan hubungan sejenis dan mencium anggota kumpulannya di atas pentas.
Teguran buat penganjur
Dikhabarkan kumpulan tersebut pernah melakukan konsert di Dubai sekitar tahun 2019 dan disekat dari negara tersebut kerana perbuatan jijik yang sama sewaktu konsert berlangsung.
Berkaitan isu ini, Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun di laman media sosialnya tampil membut teguran terutama kepada penganjur, adakah perkara ini tidak diteliti sebaiknya sebelum diluluskan?
“Bahkan, banyak bukti yang menunjukkan kumpulan ini penyokong tegar LGBT, jika tidak mengapa dengan berani mereka mengulangi adegan jijik ini di Malaysia pula walaupun sudah dimaklumkan tentang garis panduan sebelum konsert dimulai?
“Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam Garis Panduan Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara menyebut tentang larangan mempamerkan perlakuan atau tutur kata yang berunsur lucah dengan aksi yang menghairahkan seperti berkucupan, mencium penonton atau melakukan perbuatan seumpamanya sesama sendiri.
“Di luar sana, ada banyak negara Umat Islam yang boleh mengawal dan menghalang konsert sebegini daripada dilaksanakan, bahkan ada negara bukan Islam juga mengawalnya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM