BANGI – Semua syarikat penerbangan tempatan disaran mula mengamalkan bacaan doa perjalanan musafir sebelum pesawat masing-masing berlepas.
Cadangan itu dikemukakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika mengulas isu kapten pesawat AirAsia yang dikritik kerana menyarankan penumpang berdoa apabila pesawat dari Perth, Australia mengalami masalah teknikal, baru-baru ini.
Menulis dalam Bayan Linnas Siri ke-99 bertajuk ‘Kapal Terbang dan Doa’, beliau mencadangkan kepada syarikat penerbangan di Malaysia, seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), Air Asia, Malindo Air dan Firefly, untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan.
“Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan) yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana,” katanya.
Setakat ini, syarikat penerbangan beberapa negara, termasuk Brunei mengamalkan doa perjalanan sebelum pesawat berlepas.
Dr Zulkifli berkata, baru-baru ini, pihaknya mendengar berita mengenai isu kapten pesawat yang dikritik kerana menyarankan penumpang agar berdoa apabila berlaku situasi getir.
Katanya, ramai pihak yang memberi pandangan, sama ada menolak atau pun menyokong, dengan pelbagai idea dan justifikasi, pro atau kontra, berdasarkan niat dan maksud masing-masing.
“Berdasarkan nas-nas yang cukup banyak, tidak semua sempat kami hidangkan di sini, jelas menunjukkan bahawa adalah teramat penting bagi kita untuk meletakkan pengharapan kita kepada-Nya sahaja.
“Itulah Allah yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Sebaiknya amalan berdoa sebelum dan ketika musafir kita promosikan dengan sebanyak mungkin agar manfaatnya dapat diperolehi segenap pihak,” katanya.
Memetik firman Allah Taala dalam ayat 206 surah Al-A’raf, beliau berkata, doa adalah senjata bagi orang beriman dan sifatnya juga adalah satu bentuk ibadat, sehingga Allah SWT sendiri menyarankan dan memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya dalam kehidupan.
Katanya, antara sikap menjauhi takbur dan membesarkan diri ialah dengan sentiasa meminta dan berdoa kepada Allah SWT dan mengaku kelemahan diri dalam mengawal urusan.
Beliau berkata, Islam mengajar umatnya untuk berdoa, terutama ketika musafir, sama ada bagi perjalanan jauh atau dekat, termasuk doa menaiki kenderaan yang dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya:
وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12) لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)
“Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah-lah yang memudahkan perjalanan kita tatkala kita bergantung harap kepada-Nya.
“Begitu juga ini menunjukkan Allah lah berikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan sekalipun seseorang itu memang terlatih untuk mengendalikan satu-satu kenderaan, kebergantungan kepada Allah SWT amat perlu kerana hakikatnya Dialah yang menguasai setiap sesuatu,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my