KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan empat langkah bagi menangani penyakit wabak rabies atau ‘anjing gila’ yang menular sejak baru-baru ini.
Beliau berkata, langkah pertama yang perlu dilakukan individu yang terdedah dengan virus tersebut ialah segera dibawa ke hospital dan melaporkannya ke Klinik Kesihatan Daerah.
“Kedua, anjing yang menghidapi penyakit ‘rabies’ harus dibunuh dan diuruskan mengikut ‘standard of operation’ (SOP) yang ditetapkan KKM.
“Seterusnya, untuk elak wabak berjangkit, anjing liar lain yang tidak dijangkiti wajar ditangkap dan ditempatkan di kawasan khas serta diasingkan daripada kawasan manusia.
“Bagi mereka yang memiliki anjing hendaklah dipastikan anjing berkenaan mendapat imunisasi secukupnya dengan vaksin rabies mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelesaikan isu ini.
“Syabas kepada pihak KKM kerana begitu profesional dan bertindak segera dalam menyelesaikan isu ini dengan kempen kesedaran dan pencegahan serta bantuan perubatan,” katanya.
Terdahulu, dua daripada tiga kanak-kanak yang dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak meninggal dunia, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu, yang merupakan adik-beradik, dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, masing-masing meninggal dunia pada jam 1.43 dan 1.46 tengah hari di Hospital Umum Sarawak. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my