Mukadimah
Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran kepada-Nya selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarga dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Firman Allah SWT:
وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ
Maksudnya: Serta negeri (Makkah) yang aman ini.
(Surah al-Tin: 3)
Berdasarkan ayat dan nas di atas, Mekah dianggap sebagai paling afdal tempat di muka bumi kecuali pendapat Imam Malik dan sebahagian ulama.
Tetapi yang masyhur seperti kata Imam al-Nawawi dalam al-Idhah bahawa Mekah yang paling afdal. Lihat al-Taudhih Syarah al-Idhah hlm. 352.
Kami dikejutkan dengan berita ada usaha ke arah menyerang Kaabah. Panduan kami ini adalah berdasarkan kenyataan daripada al-Azhar. Semoga berita seperti ini memberi keinsafan kepada kita betapa pentingnya kita mempertahankan dan mencintai Kaabah Allah al-Musyarrafah yang menjadi kiblat umat Islam.
Kami melihat kepada bebarapa laporan daripada al-Arabiyyah dan akhbar-akhbar daripada dunia arab.
Dalam Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Makkah al-Mukarramah dan Kaabah al-Musyarrafah: Inilah Kiblat Kami!
Laporan Akhbar dan Media
Kami kemukakan di sini laporan media antaranya:
Berita Harian: Pada semalam 30 Oktober 2016.
Tentera gabungan Arab yang berperang di Yaman berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Houthi kira-kira 65 kilometer dari kota suci Makkah. Menurut kenyataan tentera gabungan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi, Saudi Press Agency, peluru berpandu berkenaan ditembak dari daerah Saada, yang terletak hanya di seberang Arab Saudi kira-kira 9 malam, Khamis. Sebelum ini, tentera gabungan menjalankan kempen pengeboman menentang pemberontak sejak Mac tahun lalu dan terdapat beberapa serangan dihalakan ke bandar-bandar di Arab Saudi yang hanya terletak seberang wilayah sempadan. Susulan itu, Arab Saudi sudah melancarkan peluru berpandu Patriot bagi memintas tembakan dari pemberontak berkenaan. “Pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah kawasan Makkah pada petang Khamis dari wilayah Saada iaitu kubu kuat yang terletak dari seberang sempadan,” kata tentera gabungan dalam satu kenyataan. “Sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkannya kira-kira 65 kilometer dari Makkah dan tiada kerosakan terhadap kota suci itu,” katanya lagi. Makkah terletak kira-kira 500 kilometer dari sempadan Yaman. – Agensi.
Kecaman Antarabangsa
Utusan Malaysia: Laporan pada 30 Oktober 2016
Tindakan pemberontak Syiah Houthi melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi dengan menjadikan Mekah yang menempatkan Masjidil Haram sebagai sasaran serangan itu merupakan satu perbuatan jenayah yang perlu dikecam.
Speaker Parlimen Arab, badan di bawah Liga Arab, Ahmed Mohammed Al Jarwan berkata, serangan itu adalah jenayah yang menjadi bukti kumpulan itu sengaja menyasarkan tanah suci bagi umat Islam dalam ‘memainkan perasaan mereka’.
Sehubungan itu, Ahmed menggesa negara-negara Islam supaya bersatu bagi menghalang kumpulan Houthi dan pihak yang menyokong pemberontak tersebut daripada melakukan lebih banyak jenayah.
Menteri Luar Yaman, Abdel-Malek Al-Mekhlafi pula berkata, cubaan serangan ke atas Mekah itu menjejaskan kestabilan rantau Asia Barat dan membuktikan kumpulan pemberontak berkenaan sebagai ancaman kepada kestabilan dunia.
“Kami mencari keamanan namun mereka mahu berperang, kami mahukan kestabilan di Yemen dan di rantau ini namun mereka mencari kemusnahan sekali gus mengesahkan mereka adalah ancaman kepada keamanan dunia.
“Pada masa sama, perbuatan jenayah ini adalah bukti bahawa Houthi adalah alat yang digunakan Iran untuk memusnahkan Yaman dan negara jirannya,” katanya sebagaimana lapor portal Arab News.
Dalam pada itu, Duta Jerman ke Arab Saudi, Dieter W. Haller memberitahu, adalah penting bagi semua pihak terlibat dalam konflik di Yemen untuk kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami mengecam serangan seumpama ini dengan sekeras-kerasnya,” kata beliau.
Duta Norway ke Arab Saudi, Rolf Willy menegaskan, serangan itu dikecam oleh mereka yang cintakan keamanan.
“Saya percaya perkara ini perlu diselesaikan di meja rundingan secara aman,” katanya.
Turut senada dengan kecaman itu adalah Duta India ke Arab Saudi, Ahmad Javed yang menegaskan sebarang serangan ke atas tanah suci perlu dibantah sekeras-kerasnya.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir berkata, serangan kumpulan pemberontak itu bukan sahaja melanggar perjanjian damai malah turut menyasarkan Mekah yang merupakan lokasi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan haji dan umrah.
Jurucakap tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, Brigedier Jeneral Ahmed Al-Assiri menambah, menjadikan tanah suci sebagai sasaran peluru berpandu balistik menunjukkan ‘slogan palsu’ yang digunakan kumpulan Houthi.
Sementara itu, menurut Menteri Luar Bahrain, Khaled bin Ahmad Al-Khalifah, serangan itu satu pencabulan kepada semua perjanjian antarabangsa malah merupakan jenayah paling besar pernah berlaku.
Kenyataan Berkenaan Cubaan Serangan Kepada Kota Mekah
Kami nyatakan di sini beberapa kenyataan daripada badan berautoriti dan tokoh ulama:
Pertama: Universiti Al-Azhar
- Mengutuk sekeras-kerasnya isu peluru berpandu milisyat Houthi yang disasarkan kepada Mekah. Dalam kenyataan rasmi mereka menyatakan jenayah yang keji tidak mungkin berlaku jika sekiranya seseorang yang ada pada hatinya sebesar zarah daripada iman.
- Begitu juga antara lain Azhar mengikuti perkembangan tersebut dengan rasa penuh debaran yang amat sangat berdasarkan kenyataan kerajaan Arab Saudi yang hanya 60 kilometer dari jarak kota Mekah yang dapat dipintas tanpa sebarang kerosakan. Azhar juga membuat penegasan bahawa umat Islam di belakangnya akan mengisytiharkan penentangan dengan sikap yang melampau inilagi bahaya kerana menghalakan kepada hati dan jantung orang Islam serta kiblat mereka yang pertama dalam solat.
- Universiti al-Azhar juga menyeru kepada Liga Negara-Negara Arab dan Organisation of the Islamic Conference (OIC) mengambil prihatin dan tanggungjawab dalam keadaan yang amat membimbangkan ini.
Kedua: Kesatuan Ulama Sedunia (Rabitah Ulama’ al-Muslimin)
- Mereka mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah oleh puak Houthi yang melancarkan peluru berpandu ke arah Kota Mekah. Mereka menyeru umat Islam agar bersatu dan juga pemimpin Negara Islam agar mempertahankan Kota Mekah ini.
- Kenyataan yang hampir sama iaitu kutukan terhadap serangan berkenaan juga dikeluarkan oleh Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ Saudi, Majlis Ulama’ Pakistan, Dar al-Fatwa Lubnan, Majlis Ulama’ India (AIUMB) dan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Ketiga: Para Ulama
- Mufti Mesir Dr. Syauqi A’llam berkata: “Perbuatan tersebut sebahagian daripada kegilaan dan pencerobohan yang melampau ke atas penghormatan Mekah yang padanya Baitullah al-Haram.” Beliau menegaskan bahawa penghormatan darah, orang Islam dan tanah haram merupakan kedudukan yang mulia dan agung khususnya pada jantung hari umat Islam. Maka sesiapa yang menghendaki dengannya kejahatan nescaya dihinakan Allah di dunia dan di akhirat.
- Muhammad al-‘Arifi dalam khutbah Jumaatnya berkata: “Perbuatan tersebut amat terkutuk seperti Abrahah Moden yang melancarkan serangan ke atas Kota Mekah.”
Selain itu, kami dapati juga terdapat kenyataan yang sama daripada Syeikh Dr. ‘Aidh al-Qarni, Syeikh Nasir al-Qatami, Syeikh Soleh al-Munajjid, Syeikh Misyari Rashid al-Afasi, Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais dan Syeikh Mohammad Arshad (Mufti Besar Hong Kong).
Kenyataan Mufti Wilayah
Kami merasa kesal dan amat terkejut dengan peristiwa cubaan serangan peluru berpandu ke arah Mekah. Kami juga bersama dengan badan berautoriti tertinggi dunia serta tokoh ulama mengecam sekeras-kerasnya perbuatan yang tidak bertamadun apatah lagi dari mereka yang mendakwa diri mereka Islam yang sebenarnya. Jika sekiranya tempat suci yang amat dihormati oleh jantung hari umat Islam manakan mungkin mereka seperti ini tergamak melakukan serangan yang dianggap biadap serta melampau itu. Ingatlah pesanan Allah dalam surah al-Haj:
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ ۚ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Haj: 25)
Imam Ibn Kathir berkata: “Siapa yang mahu dan hanya bercita-cita untuk melakukan perbuatan yang keji maka ia termasuk dalam dosa besar. Ini berdasarkan kenyataan Ibn Mas’ud: “Kalaulah seorang lelaki menghendaki kejahatan dan kezaliman ke atas Kota Suci Mekah sekalipun dia berada di Aden Yaman, nescaya Allah kenakan kepadanya azab yang Maha Pedih.” Lihat Tafsir Ibn Kathir (5/356).
Imam Fakhruddin al-Razi berkata: “Perkataan Ilhad dengan kezaliman memberi maksud sebarang bentuk kezaliman nescaya Allah menghukumnya dengan azab yang pedih.” Lihat Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib (12/26-27).
Al-Marhum Sayyid Hawwa berkata: “Mereka yang kafir dan menentang serta mehalang dari jalan Allah dan Masjid Haram akan kami yakni Allah kenakan mereka azab yang pedih.”Lihat al-Asas fi Tafsir (7/3544)
Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ayat ini umum mengandungi semua bentuk maksiat dan istimewanya tanah haram dengan hukuman semata-mata orang itu berniat melakukan kejahatan, walaupun belum melakukannya lagi.” Lihat al-Tafsir al-Munir (17/188-189)
Ingatlah membawa senjata juga hukumnya tidak dibenarkan. Telah sabit dalam sahih Muslim daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لا يَحِلُّ لِأَحَدِكُم أنْ يَحْمِلَ بِمكةَ السلاحَ
Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang untuk membawa senjata di Kota Mekah.”
Riwayat Muslim (1356)
Kalaulah sekadar senjata biasapun tidak dibolehkan sementelahan lagi peluru berpandu yang lebih berbahaya dan mampu mengakibatkan kerosakan yang lebih dahsyat. Lihat kitab Taudhih Syarah al-Idhah hlm. 393.
Justeru, marilah sama-sama kita bersatu mempertahankan Kota Suci Mekah dan berdoa kepada Allah semoga kiblat pertama Umat Islam ini sentiasa terpelihara dari sebarang tindakan untuk menghancurkannya.
Akhukum fi Llah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1243-bayan-linnas-siri-74-makkah-al-mukarramah-dan-kaabah-al-musyarrafah-inilah-kiblat-kami
www.indahnyaislam.my