Muhammad Ali, lagenda manusia berprinsip

muhammad-ali-2

 

Baru-baru ini, jenazah Muhammad Ali, peninju terhebat dalam sejarah dan manusia ke 16 paling berpengaruh di Amerika Syarikat seperti yang disenaraikan oleh majalah Times, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Louiseville, Kentucky. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Ali adalah individu Muslim yang teguh pendirian paling berpengaruh di Amerika Syarikat.

Muhammad Ali dikenang oleh kawan dan lawan bukan hanya kerana kehebatannya di dalam gelanggang tinju, tapi lebih kerana prinsip perjuangannya di luar gelanggang.

Benar, beliau hebat di dalam gelanggang dengan gaya tersendiri, ‘float like a butterfly, sting like a bee’ katanya. Pencapaian beliau menumpaskan George Foreman dan Jo Frazier untuk merangkul kejuaraan ‘heavyweight’ dunia di Zaire dan Manila adalah antara pencapaian terhebat beliau yang akan sentiasa dikenang sepanjang zaman oleh peminat sukan tinju.

Tapi, prinsip perjuangannya yang dibuktikan menerusi tindakan adalah apa yang membuatkan beliau dihormati dan dikenang sebagai legenda oleh semua, baik yang meminati sukan tinju atau tidak.

“I aint got no quarrel with them Vietcong,” katanya ketika menolak untuk berkhidmat sebagai tentera di Vietnam. Untuk atlit bertaraf tinggi dan dikenali oleh semua seperti beliau menolak untuk berkhidmat di dalam tentera secara terbuka adalah satu perkara yang tidak masuk akal pada ketika itu. Beliau merisikokan segalanya, kejuaraan yang baru disandang, kontrak pengiklanan bernilai jutaan ringgit, lessen untuk bertinju yang berkemungkinan ditarik di kemuncak kerjayanya dan hukuman penjara.

Benar, tidak lama selepas itu, Ali dikecam hebat oleh media dan ahli-ahli politik, hampir seluruh negara membencinya, kejuaraan dunia yang baru dimenanginya ditarik balik, begitu juga dengan kontrak beliau dengan syarikat-syarikat besar. Tidak cukup dengan itu, lesen tinju beliau ditarik dan Ali tidak lagi dibenarkan bertinju di kemuncak kerjayanya pada usia 25 tahun.

Keislamannya dipersalahkan, bahkan dikatakan menjadi punca kepada penolakannya untuk berkhidmat.

Ali terus teguh dengan prinsipnya. Dari hidup sebagai seorang bintang dan jutawan, sekelip mata Ali menjadi ‘public enemy’ di Amerika Syarikat, digelar pengecut, jatuh miskin dan hidup dibebani hutang keliling pinggang. Dia juga pernah dipenjarakan dan pernah ketika di dalam penjara dia diminta untuk menghantar makanan kepada banduan yang akan menjalani hukuman mati.
“I’d be goddamned, I’ve got the world heavyweight champion serving meal for me, the world must be coming to an end.” Kata seorang banduan penjara yang pernah menerima ‘khidmat’ Ali.

Dia tidak takut untuk menyatakan kebenaran prinsipnya, walaupun dia seolah-olah berseorangan ketika itu.
I won’t be used by powerful white men as a tool to kill other people who are fighting for their own beliefs and freedoms, and neither should you, especially if you’re poor and/or black.”

4 tahun sepanjang penggantungannya, Ali tidak duduk diam, beliau menjelajah ke sana dan ke mari untuk menjelaskan prinsipnya. Ugutan bunuh dan pelbagai ancaman tidak dipedulikannya. Beliau ketika itu bagaikan gunung yang tegak berdiri dengan prinsip kehidupannya.

Tidak lama selepas itu, Amerika mula menerima tamparan hebat di Vietnam, mayat-mayat berbalut bendera mula dibawa pulang, tentera yang pulang dalam keadaan cedera juga menyatakan kekeliruan akan tujuan sebenar perang nun jauh di Asia Tenggara.

Ali mula ‘menang’. Ramai yang mula berdiri dibelakangnya. Dari dikeji, beliau dipuji dan diangkat tinggi. Lesennya diberi kembali dan selepas inilah, Ali kembali ke gelanggang untuk menumpaskan Foreman dan Frazier.

Ali juga adalah contoh seorang Muslim yang teguh dengan aqidahnya. Beliau tidak malu untuk menyatakan keimanannya di mana sahaja, baik di dalam siri-siri temuramah di dalam televisyen atau dalam pertemuan-pertemuan spontan. Pernah dalam satu siri temuramah, seorang remaja bertanya tentang perancangannya selepas bersara, jawapannya selepas itu penuh dengan seruan dakwah untuk mentauhidkan Allah.

Orang yang sentiasa bersama-sama dengan beliau pasti akan bercerita tentang akhlaknya yang sentiasa merendah diri dengan setiap yang dijumpainya dan sentiasa membaca Al Quran walaupun dalam keadaan keletihan. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Thomas Hauser, penulis autobiografinya yang berkesempatan tinggal bersama dengan Ali dalam satu tempoh yang agak lama.

Ali bukan malaikat, dan semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya. Apa yang pasti, sehingga hari ini dan setelah hari kematiannya, Ali tidak hanya akan dikenang sebagai peninju, tapi sebagai seorang lelaki yang benar-benar lelaki.
A great man is gone, but never forgotten.

Al Fatihah.

Dr Hisham Sharif

Artikel ini diambil daripada laman Facebook Dr Hisham.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts