BANGI – Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengesyorkan supaya Masjid Al-Aqsa dan sejarah pembebasannya dijadikan silibus pengajian takmir dan tauliah untuk diajar di masjid dan surau seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim juga mencadangkan ia dijadikan silibus pengajian di sekolah dan pusat pengajian bermula dari peringkat paling awal hingga ke peringkat tertinggi
Katanya, langkah ini bagi memastikan roh jihad untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa sentiasa menyala di dalam dada umat Islam khususnya generasi akan datang.
“Cadangan ini mohon dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Zamri menegaskan, Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan yang utama di dalam Islam yang mana merupakan kiblat pertama umat Islam.
“Ia adalah kiblat pertama, tempat Israk dan Mikraj Rasulullah ﷺ, bumi barakah dan seribu satu macam lagi fadilatnya,” katanya.
Katanya lagi, Masjid Al-Aqsa telah melalui siri perebutan untuk menguasainya yang dahsyat namun hingga kini umat Islam belum dapat menguasainya secara penuh.
“Rasulullah ﷺ wafat dalam keadaan Al-Aqsa masih belum dimerdekakan dari penguasaan Rom ketika itu. Jarak paling dekat tentera Islam sampai dalam usaha memerdekakan Al-Alqsa ialah sejauh 85km lagi.
“Berlalunya tempoh sehinggalah Saidina Umar berjaya membuka Al-Aqsa dan selepasnya Salahuddin Al-Ayyubi. Namun hari ini, umat Islam tidak bebas untuk beribadat di dalamnya dan sering kali dikotori kemuliaan masjid ini dengan pencerobohan penjajah,” katanya.-Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM