1. Apabila Allah menyayangi seseorang, Dia akan membuatkan makhluk lain menyukai seseorang tersebut. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya:
إن الله إذا أحبّ عبداً دعا جبريل عليه السلام فقال: إني أحب فلاناً فأحبه»، قال: «فيُحبّه جبريل، ثم يُنادي في السماء فيقول: إن الله يحب فلاناً فأحبُّوه فيُحبّه أهل السماء» قال: «ثم يوضع له القبول في الأرض
“Sesungguhnya sekiranya Allah menyayangi seseorang, Dia akan memanggil Jibril dan berkata: Aku menyayangi si Fulan maka sayangilah dia. Lalu orang tersebut akan disayangi Jibril dan Jibril menyeru seluruh penduduk langit agar menyayangi orang tersebut. Lalu seluruh penduduk langit akan menyayangi orang tersebut sehinggalah orang tersebut mendapat penerimaan yang sama di muka bumi.” (HR Muslim)
2. Ketika proses pengurusan jenazah Abam Bocey, pelbagai kisah menarik yang disampaikan oleh mereka yang mengenali beliau. Ini seakan satu indikator seolah beliau adalah orang yang sangat disenangi dan disayangi oleh manusia. Salah satu yang sangat menarik perhatian adalah kisah bagaimana beliau sangat menyantuni ibu beliau.
3. Ibu Abam (Sabariah Arshad), menceritakan bagaimana Allahyarham menyantuni dan menjaga beliau:
“Saya dan arwah sangat rapat, lebih lagi saya hidup sendiri sejak 11 tahun lalu. Dialah yang menjaga saya.” “Arwah, anak yang baik dan paling banyak bersabar dengan kerenah ketika saya sakit.” (Berita Harian, 10 Feb 2020)
4. Menyantuni ibu bukan sahaja mendapat ganjaran yang besar disisi Allah bahkan boleh menghapuskan dosa seseorang. al-Imam al-Bukhari meriwayatkan satu kisah yang menarik berhubung menyantuni ibu. Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Saidina Abdullah ibn Abbas mengadu tentang dosanya. Lelaki itu berkata: “aku telah melakukan dosa besar, apakah masih ada ruang untuk aku bertaubat?”
5. Reaksi Abdullah ibn Abbas sangat menarik. Soalan pertama yang ditanyakan kepada lelaki yang telah melakukan dosa besar itu ialah: “Apakah ibumu masih lagi hidup?” Lelaki tersebut menjawab: Tidak. Lalu Abdullah ibn Abbas berkata: Bertaubatlah kepada Allah dan bertaqwalah kepadaNya.
6. Setelah lelaki tersebut pulang, anak murid Abdullah ibn Abbas yang ada bersamanya tadi lantas bertanya: Mengapa engkau bertanyakan tentang ibunya sedangkan dia mengadukan kepadamu tentang dosanya? Abdullah ibn Abbas lantas menjawab:
لا أعلم عملا أقرب إلى الله عز وجل من بر الوالدة
“Tidak ada amalan yang paling dekat dengan Allah melainkan melakukan kebaikan terhadap ibu.”
7. Begitu tinggi pahala berbuat baik kepada ibu sehingga Abdullah ibn Abbas melihatnya sebagai boleh menghapuskan dosa besar. Malah al-Imam Ahmad pernah berkata:
“بر الوالدة كفارة الكبائر
Berbuat baik kepada ibubapa (menghasilkan pahala) yang boleh menghapuskan dosa besar. (al-Adab al-Syariyyah Ibn Muflih)
8. Bahkan keredaan ibu terhadap kita boleh menjadi asas penting untuk mendapat keredaan Allah. Saidina Abdullah ibn Amru pernah meriwayatakan hadith dari Rasulullah yang menjelaskan bagaimana berbuat baik kepada ibubapa mempunyai kaitan dengan keredaan Allah. Sabda Rasulullah:
رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الوَالِدِ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ
“Keredaan Allah tergantung pada keredaan ibubapa dan kemurkaan Allah tergantung pada murka ibubapa.” (HR al-Tirmizi)
9. Andai ibu kita reda dan menyayangi kita, maka tidak mustahil ia adalah salah satu tanda Allah redha dan menyayangi kita. Muliakan ibubapa kita, mudah-mudahan Allah memuliakan dan redha ke atas kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)