Murabbi itu tugasnya menghidupkan, bukan merobotkan.
Begitulah mungkin antara aspek tarbiah yang perlu sentiasa diperhati saban hari apabila gejala-gejala tidak sihat berlaku dalam proses mendidik anak buah.
Dakwah memerlukan rijal yang hidup hatinya, hidup perasaannya, hidup jiwanya, hidup pandangannya agar mereka itu mampu menyalurkan erti-erti itu bagi menghidupkan dakwah.
Bagaimana mungkin dakwah akan dihidupkan oleh manusia yang berjiwa kosong, jadualnya seperti robot yang melakukan beberapa perkara yang tertentu sahaja tanpa mempunyai apa-apa perasaan dan tidak pula memahami rahsia dan makna di sebalik pengarahan?
Orang yang tidak hidup, bagaimana boleh menghidupkan?
Tarbiah yang hebat akan membentuk susuk tubuh manusia dengan penuh ciri-ciri kemanusiaannya agar terpandu menjadi manusia yang memilih untuk hidup di atas kepentingan dakwah.
Ia adalah proses berinteraksi dengan nafsu manusia, proses mendidik tabiatnya, proses tarbiah imaniah yang panjang dan lama. Di dalamnya berlaku pengarahan, pembetulan, muhasabah, hukuman, merenung dan mencari rahsia dan hakikat kejadian alam dan diri sendiri, serta mujahadah yang jitu bagi membentuk jiwa mujahid yang padu.
Ia memakan masa. Mustahil ia dapat dicapai semata-mata dengan segenggam ijazah atau beberapa buku dakwah.
Ini kerana, ia memerlukan sebuah kehidupan.
Ustaz Ahmad Syamil Md Esa
syamilesa.wordpress.com
www.indahnyaislam.my