Georgetown: Mana-mana umat Islam yang percaya Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT dianggap murtad dan hendaklah bertaubat.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, individu itu juga boleh dihukum bunuh menurut syariat Islam.
“Tidak diragui lagi bahawa kepercayaan itu adalah satu lagi ajaran sesat yang perlu diluruskan serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Sesiapa yang percaya bahawa Nabi Muhammad adalah Allah SWT, sesungguhnya dia sudah terkeluar daripada agama Islam dan menjadi murtad yang boleh dijatuhi hukuman bunuh menurut syariat Islam,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau mengulas mengenai video tular menunjukkan beberapa individu mendakwa Nabi Muhammad adalah Allah.
Wan Salim berkata, dalam ajaran Islam jelas menyebut Nabi Muhammad adalah Rasul yang diutuskan Allah bagi menyampai agama-Nya kepada seluruh manusia.
Katanya, ulama juga sudah ijmak (sepakat) bahawa Rasulullah adalah sebaik-baik makhluk dan pembawa rahmat untuk seluruh alam.
“Hakikat ini difahami daripada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang sahih disertai dengan huraian oleh ulamak muktabar.
“Bagaimanapun kelebihan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘Sayyidul khalqi’ atau sebaik-baik makhluk ini tidak harus membawa kepada kepercayaan yang melampau sehingga ke tahap pemujaan seperti mempertuhankan Baginda,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Wan Salim menggesa pihak berkuasa agama Persekutuan mahupun negeri menyiasat segera dan mengenal pasti individu yang tular serta meminta mereka bertaubat.
“Sekiranya berdegil, mereka perlu dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM