SEMASA sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas China dilangsungkan dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 6 November lalu, iaitu hanya dua hari sebelum giliran Malaysia, 13 negara termasuk Australia, Kanada, Republik Czech, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah lain telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang nasib minoriti Muslim Uighur yang berdepan dengan dasar dan tindakan diskriminasi secara sistematik oleh kerajaan China.
Kuasa Usaha AS, Mark Cassayre secara khususnya menegaskan, kebimbangan negara itu tentang tekanan dan diskriminasi dikenakan ke atas Uighur, Kazakhs dan lain-lain minoriti Muslim di wilayah autonomi Xinjian Uighur.
Namun amat menyedihkan apabila daripada kesemua negara yang terlibat di dalam proses UPR China tersebut, tiada satupun suara daripada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menegaskan kebimbangan terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan terhadap minoriti Muslim Uighur.
Malah, proses UPR yang sepatutnya menjadi gelanggang teguran dan syor terhadap rekod hak asasi manusia kesemua anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sunyi daripada suara negara-negara anggota OIC untuk menyuarakan sebarang syor asas menghentikan pencabulan hak asasi manusia negara kuasa besar tersebut terhadap minoriti Muslim Uighur.Keadaan itu diburukkan dengan penafian kosong kerajaan China terhadap kegusaran 13 negara yang menimbulkan nasib umat Islam Uighur.
Timbalan Menteri Luar China, Le Yucheng menolak kritikan terhadap tuduhan layanan buruk minoriti Muslim Uighur dengan mendakwa kewujudan kem tahanan politik seperti yang didedahkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan kegusaran PBB bahawa kem tersebut digunakan untuk menyeksa minoriti Muslim Uighur adalah tidak benar.
Sebaliknya, Yucheng cuba menjustifikasi bahawa kem tersebut adalah sebahagian usaha China untuk pendidikan semula bagi menangani isu ‘keganasan’ bertujuan membebaskan mereka yang terpengaruh dengan fahaman ekstremisme. Walau bagaimanapun, dakwaan Yucheng ternyata meleset.
Rekod beberapa NGO terkemuka khususnya Uighur Human Rights Project ternyata telah mendokumentasi bukti-bukti jelas dasar diskriminasi dan pencabulan hak asasi manusia minoriti Muslim Uighur semenjak Parti Komunis China (CPP) menguasai Tibet dan Xinjiang pada 1949.
Berdekad-dekad semenjak pengambilalihan tersebut, institusi-institusi agama Islam termasuk masjid dan sekolah dihancurkan, hak kebebasan bergerak dan bersuara umat Islam disekat dan peraturan-peraturan yang tidak masuk akal diperkenalkan untuk menghilangkan amalan budaya, agama dan tradisi masyarakat tersebut.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila tercetusnya rusuhan di Urumqi, ibu negara Xinjiang pada Julai 2009. Seramai 200 orang terbunuh dan beribu-ribu bala tentera China dibawa masuk ke wilayah tersebut untuk pihak tentera menguasai wilayah berkenaan.
Sebaik sahaja kejadian rusuhan itu berakhir, kerajaan China telah memastikan bahawa istilah-istilah seperti Uighur, Urumqi dan Xinjiang ditiadakan daripada carian internet. Keadaan tersebut berterusan sehingga beberapa bulan menyebabkan hanya sekelumit berita diperoleh mengenai kejadian pencabulan hak asasi manusia terhadap minoriti Muslim Uighur.
Penyeksaan
Butiran baru yang muncul daripada laporan NGO tersebut yang berterusan mendedahkan tindakan subversif negara China menahan dan ‘mendidik semula’ penduduk, penggunaan penyeksaan untuk membantu tindakan pendidikan semula dan tekad untuk menjaga rahsia keseluruhan usaha.
Operasi pendidikan semula Uighur didedahkan sebagai satu cabaran logistik yang sangat besar. Seperti dilaporkan beberapa NGO hak asasi manusia termasuk World Uyghur Congress dan Human Rights Watch, kerajaan China terpaksa mencari kemudahan penjara baharu untuk sekurang-kurangnya 500,000 tahanan Uighur yang sebelum ini diadakan di Wilayah Xinjiang, di barat China, dan kemudian mengatur pengangkutan untuk memindahkan semua tahanan ke rumah baharu mereka, kadang-kala beratus batu jauh jaraknya.
Fakta yang didedahkan ini sahaja menjadi bukti betapa kerajaan China sedang dalam proses melakukan penghapusan etnik dengan mengasingkan minoriti Muslim Uighur dari kampung halaman mereka dan dihadapkan dengan pelbagai bentuk penyeksaan bertujuan mengubah pegangan mereka sebagai umat Islam.
Menurut salah seorang pegawai polis yang ditemuduga NGO-NGO hak asasi manusia tersebut, penggunaan kejutan elektrik digunakan secara berleluasa untuk menghukum mereka yang enggan mengaku etnik Uighur dan bukan beragama Islam. Pegawai itu mengimbas kembali, “(Banduan) tertakluk kepada kejutan elektrik yang teruk.
Sesetengah tongkat elektrik sudah haus, jadi para pengawal menggunakan sarung tangan elektrik untuk mengejutkan mereka. Kesakitan daripada sarung tangan ini lebih buruk daripada baton elektrik. Penggunaan baton memberikan kejutan pada kulit, tetapi sarung tangan elektrik memberikan kejutan langsung ke saraf.
Penyeksaan tidak berhenti sehingga banduan mengakui mereka bangsa China dan bukan etnik Uighur. Sekiranya mereka tidak taat, mereka akan dipukul. Mereka dipaksa untuk berteriak slogan dan menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu komunis.
Proses tersebut hanya merupakan sebahagian daripada tindakan untuk memastikan mereka meninggalkan Islam sebagai agama anutan mereka semenjak sekian lama.
Tindakan berterusan kerajaan China semakin menjadi-jadi khususnya bermula April 2017, apabila sesiapa dalam kalangan Uighur yang dituduh tanpa bukti memegang ‘pandangan kukuh mengenai agama’ dan pendirian politik yang didapati bercanggah dengan kerajaan China akan dipenjara atau ditahan di kem tahanan pendidikan semula di Xinjiang.
Ini memburukkan keadaan di luar kem tahanan tersebut, apabila minoriti Muslim Uighur pada umumnya semenjak sekian lama dinafikan hak kebebasan bersuara, beragama, bergerak serta hak-hak asasi lain yang dinikmati etnik lain.
Negara-negara OIC khususnya perlu bersepakat dalam mengambil tindakan segera melalui saluran undang-undang untuk memastikan kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia terhadap minoriti Muslim Uighur ini dihentikan serta-merta.
Dengan sumber dipercayai mengenai penderaan dan pencabulan hak asasi manusia terhadap minoriti Muslim Uighur ini, berdiam diri bukanlah suatu pilihan bagi masyarakat dunia, khususnya negara anggota OIC.
Pada hakikatnya, China telah meratifikasi Konvensyen Bagi Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semenjak 1981, namun dengan angkuh tidak mempedulikan peranan dan kuasa yang ada pada PBB untuk mengheret mereka ke muka pengadilan melalui mekanisme aduan ICERD.
Sementara kelemahan mekanisme PBB terus menjadi sasaran kritikan masyarakat dunia, umat Islam nampaknya perlu terus mencari pendekatan mandiri bagi menyelesaikan masalah diskriminasi yang terus menerus menekan pelbagai minoriti agama ini di merata dunia.
Azril Mohd Amin
Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)
Sumber: Utusan Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Ya Allah bantulah saudara kami yg dizalimi….