BANGI, Rabu – Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama memperkenalkan gagasan ‘Islam Nusantara’ sebagai usaha untuk mengekang ekstremisme dan terorisme.
Pengurus Besar Nahdatul Ulama Said Aqil Siroj berkata, penyebaran ektremisme agama dan terorisme hari ini dilihat telah membentuk gelombang Islamphobia di kalangan orang bukan Islam.
Justeru dengan kewujudan Islam Nusantara ini katanya, ia akan membantu mengikis salah faham berkenaan ekstremisme.
Hakikatnya Said berkata, Islam Nusantara bukan aliran atau agama baru, sebaliknya ia menunjukkan perpaduan Islam yang ada di Indonesia.
“Islam Nusantara bukanlah agama atau mazhab baru. Ia sekadar pengetahuan Islam yang sedang berkembang di tengah-tengah nusantara.
“Yang pasti ia tidak bertentangan dengan syariat Islam sebagaimana yang difahami, diajar dan diamalkan oleh Ahlussunnah wal Jamaah di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam International Summit of Moderate Islamic Leaders (ISOMIL) di Jakarta Convention Center (JCC), Senayan, Jakarta, semalam.
ISOMIL ini merupakan pertemuan susulan selepas Sidang Kemuncak (KTT) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada bulan Mac lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, Nahdatul Ulama menyeru kepada sesiapa sahaja yang memiliki iktikad baik dari semua agama dan kebangsaan untuk bergabung membangunkan konsensus global di samping tidak mempolitikkan Islam.
“Nahdlatul Ulama akan berjuang untuk mempertahankan Ahlussunnah wal Jamaah di mana Islam dan umat Islam Islam bersungguh-sungguh menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia,” katanya.
Selain itu beliau berharap pengalaman Islam Nusantara ini akan menjadi wawasan kepada negara lain bahawa Islam perlu diteladani dan Islam merupakan agama yang menyumbang kepada peradaban, keharmonian dan perdamaian.
“Yang jelas, Nahdlatul Ulama tidak bermaksud untuk mengeksport Islam Nusantara kenegara lain, tapi sekadar mengajak komuniti Islam mengingat kembali keindahan dari pertemuan sejarah dengan semangat serta realitai budaya-budaya tempatan di seantero dunia,” katanya.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/05/nahdatul-ulama-indonesia-perkenal-islam-nusantara-banteras-ekstremisme/