Bangi – Operasi Taufan al-Aqsa memperbetulkan semula objektif yang sepatutnya didukung semua negara Arab dan umat Islam iaitu membebaskan Palestin dan al-Aqsa sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, objektif ini pada asalnya didukung bersama semua negara Arab sejak 70-an.
Tetapi, satu demi satu negara Arab akhirnya berpihak kepada rejim haram Israel dan mengkhianati rakyat umat Islam di negara masing-masing.
Ketika ditanya sama ada serangan ini akan membawa perkembangan baik kepada Palestin dan Hamas, beliau bersetuju kerana ini akan menyedarkan semula ramai pihak akan penindasan Israel yang tidak pernah berhenti selama ini.
“Mengembalikan objektif dan cara fikir yang betul dalam mencari solusi kepada konflik sekarang (dengan menyerang Israel dan bebaskan Palestin).
“Ia adalah satu ‘progres’ yang ingin dimulakan semula oleh Hamas dan seharusnya menyedarkan semua umat Islam dan negara Arab,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Sementara itu, mengulas kesan negara Iran, Yaman menghantar pasukan bagi membantu Hamas, Syed Ahmad Israa’ berkata, kelompok Syiah (Iran, Houthi Yaman, Hizbullah) melihat kelompongan sokongan negara Islam Sunni kepada Hamas sebagai peluang untuk mereka mengubah imbangan kuasa di Timur Tengah.
Katanya, tidak dinafikan jika negara-negara Islam Sunni tidak bersama membantu wakil umat Islam di Palestin berjuang, umat Islam di sana terpaksa bersikap pragmatik demi survival, juga demi tidak kehilangan tanah suci.
“Iran dan pihak Syiah tidak akan memenangkan agenda Islam Sunni kerana mereka memiliki agenda penguasaan sendiri di Timur Tengah.
“Mereka mungkin beri bantuan secara berkepentingan tetapi mereka tidak akan berkongsi agenda atau kuasa.
“Iran dan Houthi juga kemungkinan besar tidak akan masuk/membantu dalam peperangan secara direct jika Amerika Syarikat (AS) mula masuk ke medan secara langsung,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, negara Arab dan Islam Sunni perlu segera melakukan sesuatu untuk memastikan Palestin dibela pihak yang benar.
“Sekali lagi negara Arab bertanggungjawab membantu, kerana jika tidak impak geopolitik akan mengena kepada semua negara Arab.
“Mudarat membiarkan pembantaian kepada Palestin dan penaklukan Gaza dan al-Aqsa oleh rejim Israel adalah jauh lebih besar daripada mudarat membatalkan normalisasi. Logik ini sepatutnya difahami oleh negara-negara Islam khususnya Arab Sunni,” katanya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM