BANGI- Negara-negara Islam perlu serius menekan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya satu tindakan lebih tegas dan berkesan diambil ke atas pengganas Israel.
Pemerhati politik antarabangsa, Prof Dr Zaid Ahmad berkata, langkah itu penting kerana Israel menunjukkan kepada media antarabangsa bahawa mereka sedang dianiaya, meskipun memulakan provokasi menyerang Palestin pada bulan Ramadan lalu.
“Oleh kerana itu Hamas (Pergerakan Perjuangan Islam Palestin) melakukan tindak balas akibat daripada perbuatan Israel,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Prof Zaid yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah platform paling kuat bagi mendesak rejim Zionis supaya segera menghentikan serangan ke atas Palestin.
Bagaimanapun, beliau berkata, OIC gagal berbuat demikian kerana ketika ini terdapat perpecahan dalam kalangan negara-negara Islam, malah ada di antara mereka sangat lunak menormalisasi hubungan dengan Israel.
“Jadi, dalam negara Islam pun tidak begitu sekata dalam perkara ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
“Pada hari ini (Sabtu), saya telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia berhubung situasi terkini di Palestin.
“Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta-merta,” katanya.
Malah, beliau berkata kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
Menganggap tindakan Malaysia sebagai wajar, Prof Zaid berkata, langkah itu perlu dilakukan oleh negara-negara yang bertanggungjawab menyelesaikan isu Palestin dan Israel.
“Sama ada ia berkesan untuk mendesak pihak lain untuk menyertai gerakan ini, kita tidak tahu ‘outcome’ yang bakal tiba. Tetapi, sebagai sebuah negara berdaulat dan mempunyai pendirian, kita harus menyatakan pendirian kita,” katanya.
Ketika ditanya peranan Fatah yang diterajui oleh Presiden Mahmoud Abbas, Prof Zaid berkata, parti itu yang berperanan sebagai kerajaan perlu mengambil pendirian tegas mengenai serangan Israel ke atas Palestin.
Katanya, jika sebelum ini kerjasama antara Fatah dan Hamas agak longgar, maka kedua-dua parti perlu ada kesatuan dalam menangani isu itu.
“Mereka mesti tunjukkan kepada Israel bahawa umat Islam ada kesatuan, kalau tidak, mereka akan guna taktik lama seperti pecah perintah,” jelasnya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)