KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan.
Sultan Perak bertitah, hasrat mahukan sistem pemerintahan yang adil dan saksama mendorong kepada tertubuhnya pelbagai gerakan berunsur militan di serata dunia bagi menubuhkan Daulah Islamiah atau negara Islam.
“Negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan yang melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, menculik dan mencederakan insan yang tidak berdosa.
“Negara Islam tidak terbentuk, dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama negara. Negara Islam juga tidak terbentuk, semudah menyelitkan elemen Islam dalam sistem perundangan dan Perlembagaan Negara.
“Negara Islam akan dapat terjelma, apabila negara diurus tadbir oleh pemerintahan yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh menegah kemungkaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 baginda di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berangkat ke istiadat itu.
Turut berkenaan berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda, Tuanku Suraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama ke istiadat, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil, yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dan membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai 31 penerima istiadat penganugerahan darjah kebesaran negeri pada istiadat itu.
Sultan Nazrin bertitah, rakyat yang hidup dalam suasana rukun damai, saling bekerjasama dan menghormati, bersatu dan berpadu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan perlembagaan negara serta mendaulatkan undang-undang juga akan menjelmakan negara Islam.
Titah baginda, ciri lain bersih daripada rasuah, tidak menyalah guna kuasa, berlakunya pengagihan kekayaan secara adil hingga tiada lagi rakyat yang miskin serta negara dilimpahi Ilahi dengan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.
“Negara Islam akan terjelma apabila pemerintah dan pemimpin dapat menghayati sifat terpuji seperti diamalkan Rasulullah SAW yang berakarkan semangat berkhidmat, semangat berkorban, sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewaan, sama sekali tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah, semangat permuafakatan yang diasaskan dan dicapai oleh barisan kepemimpinan negara ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat perlu terus dihormati.
“Sebarang tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan itu wajib ditentang, demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka, yang warganya hidup berpadu, rukun lagi damai,” titah baginda.
Baginda bertitah, keadilan adalah faktor penentu rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin seperti yang dimiliki Nabi Muhammad SAW, di mana sifat adil tidak hanya dinikmati oleh umat Islam, malah bukan Islam, sekali gus meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati.
Titah baginda, hasrat melaksanakan pemerintahan yang adil memerlukan cantuman hasrat dan gabungan usaha antara pemerintah, pemimpin dan rakyat.
“Pemerintah dan pemimpin adalah tonggak utama dalam membina negara dan ummah yang gemilang dan kerana itu, pemerintah dan pemimpin wajib memiliki akhlak dan sifat terpuji serta bijaksana dalam urusan pemerintahan dan kepemimpinan.
“Kesejahteraan rakyat amat bergantung kepada citra dan perilaku seseorang pemerintah atau pemimpin.
“Cara seseorang pemerintah atau pemimpin menggunakan kuasa yang diamanahkan akan mempengaruhi tingkah laku rakyat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pemerintahan dan kepemimpinan yang adil lagi saksama juga perlu dilandaskan kepada pengetahuan terhadap bidang dan sempadan kuasa.
Titah baginda, dalam konteks Malaysia, bidang dan sempadan kuasa itu secara nyata termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama ketika merasmikan Parlimen pertama pada 12 September 1959, telah menzahirkan tujuh perkara mengenainya termasuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Kebangsaan dan kuasa pemerintah.
“Setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, adalah penting untuk generasi hari ini memahami sejarah penubuhan negara ini agar bahtera merdeka ini terus dilayari berpandukan kepada kompas yang betul.
“Tujuh perkara utama yang dizahirkan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pertama ketika pembukaan sidang Parlimen pertama telah dijadikan pedoman oleh warga ketika negara berada dalam usia formatif.
“Tujuh perkara ini berperanan besar, membolehkan negara mempertahankan integriti sebagai sebuah negara yang diurus tadbir secara telus berpaksikan undang-undang, hatta berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berjaya lagi berdaulat.
“Keruntuhan sesebuah negara, berpunca daripada kelalaian pemerintah menunaikan keperluan rakyat serta kegagalan pemerintah menyeru ke arah yang makruf dan kelemahan di pihak pemerintah mencegah kemungkaran.
“Islam menegaskan bahawa pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.
“Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran, bertiangkan keadilan selaras maksud yang terkandung dalam ayat 24 Surah Saad,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my