GAZA – Pihak Berkuasa Palestin (PA) mendakwa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang berusaha untuk memperbaharui ketegangan di kota suci Baitulmaqdis yang diduduki sebagai cara untuk mewujudkan alasan bagi menyelamatkan karier politiknya yang menjunam.
Kementerian Luar Negeri PA membuat kenyataan itu, semalam kerana bimbang rejim Zionis pimpinan Netanyahu akan memperbaharui serangan terhadap rakyat Palestin di bandar, termasuk tempat suci, lapor agensi berita rasmi Turki, Anadolu.
Ketegangan memuncak ketika ini di Tebing Barat seakan-akan mahu menimbulkan provokasi besar-besaran seperti sebelum perang Saif Al-Quds tempoh hari yang menyebabkan kematian sejumlah besar penduduk Palestin.
Kementerian PA menegaskan, Netanyahu sekali lagi berusaha untuk membuka pintu-pintu keganasan terhadap rakyat Palestin melalui ketegangan semata-mata mahu mencegah pembentukan gabungan yang disebut ‘perubahan’ politik Israel yang sangat mengancam untuk menyingkirkannya daripada tampuk kekuasaan.
Sebelum ini, ahli politik pembangkang Israel, Yair Lapid mengumumkan pembentukan gabungan bersama banyak sekutunya daripada kem anti-Netanyahu di Knesset (Parlimen Israel) untuk mengakhiri 12 tahun pemerintahan Netanyahu sebagai perdana menteri.
Netanyahu berusaha untuk ‘menggagalkan’ pembentukan struktur politik seperti itu ‘dengan memanaskan keadaan di al-Quds dan meningkatkan serangan terhadap tempat suci dan warganya,’ kata kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, Netanyahu berharap ketegangan dapat mempertahankan karier politiknya dengan mendorong tindak balas yang kuat dari pihak Palestin.
Netanyahu juga berulang kali memperingatkan penduduk Israel bahawa jika dia digulingkan, rejim akan dibiarkan terdedah dalam menghadapi pembalasan rakyat Palestin.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus pasukan rejim Zionis memperbaharui serangan mereka terhadap kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis, menyerang penunjuk perasaan dan wartawan di sana, dan menangkap seorang aktivis wanita terkenal. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)