NGO Islam gesa Peguam Negara batalkan notis hentikan rayuan kes berkait kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang mendakwa mewakili lebih 70 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan kes berkaitan kalimah Allah di mahkamah.

Ia susulan KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Setiausaha Agung PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias, berkata kerajaan perlu mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes itu.

Beliau berkata, tindakan unilateral tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama berhubung isu Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkepentingan disifatkan melampau.

Katanya, tindakan itu juga tidak menghormati institusi lebih tinggi dari cabang eksekutif negara dan boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam negara.

“PEMBELA turut kesal dengan peranan yang gagal dimainkan olen Ahli Parlimen Islam yang mendukung Kerajaan Madani untuk membantah serta menghalang tindakan unilateral ini.

“PEMBELA menggesa Ahli Parlimen Islam yang bermaruah dalam kerajaan dan pembangkang untuk memberi tekanan yang wajar supaya tindakan unilateral yang tidak menghormati Islam, perlembagaan dan institusi yang bersumpah serta dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya pada semua masa, ditarik balik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian dikenali Jill Ireland Lawrence Bill.

Wanita berkenaan memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Menurut notis berkenaan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Isu ini bermula 15 tahun lalu apabila Lawrence Bill memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Rendah (LCCT) di Sepang.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Mohd Aswanizam berkata, kegagalan Ahli Parlimen Islam untuk menggesa Perdana Menteri mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu harus dianggap sebagai kegagalan utama dalam mempertahan agama negara.

“la harus disusuli dengan tindakan wajar sebagaimana yang harus dilakukan pihak yang gagal menjalankan tugas seperti mana yang diamanahkan.

“PEMBELA akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts