KUALA LUMPUR – Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) semalam membuat laporan polis berhubung cadangan seorang aktivis untuk mengadakan solat Jumaat pada Sabtu bagi memudahkan umat Islam melaksanakannya.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Damansara dan menggesa polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat cadangan yang kini menjadi viral yang dianggap biadap dan menghina kesucian agama Islam.
Difahamkan, cadangan mengadakan solat Jumaat pada hari Sabtu itu dibuat oleh seorang aktivis yang juga kolumnis sebuah portal berita liberal di negara ini menerusi tulisan dalam sebuah laman web – patheos (Hosting the Conversation on Faith), pada 6 Oktober lalu.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, isu solat Jumaat pada Sabtu tidak seharusnya wujud kerana ia sudah termaktub dalam hukum agama.
Katanya, solat Jumaat adalah hukum yang sudah ditetapkan dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.
– Bernama
www.indahnyaislam.my