Pernah pada suatu hari ketika saya sedang berpuasa, saya merasa dahaga yang amat sangat dan berniat untuk membatalkan puasa, sehingga ke tahap saya telah menuangkan air ke dalam gelas untuk diminum. Namun setelah lama berfikir, saya membatalkan niat tersebut dan meneruskan puasa. Saya berasa ragu-ragu, adakah puasa saya itu masih sah, atau sebenarnya telah terbatal?
Ringkasan Jawapan
Qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa jika seseorang itu berniat untuk membatalkan puasanya tapi tidak meneruskan niatnya itu, puasanya tidak terbatal.
Huraian Jawapan
Persoalan sama ada berniat untuk membatalkan puasa itu menyebabkan puasa terbatal atau tidak sememangnya menjadi perbahasan para ulama. Dalam mazhab Syafi’e sendiri ada dua pandangan dalam isu ini.
Menurut Imam al-Syirazi:
وَمَنْ نَوَى الخُرُوجَ مِن الصَّومِ بَطَلَ صَومَهُ وَقيلَ لَا يَبْطُلُ
Maksudnya: Sesiapa yang berniat untuk keluar daripada puasa, terbatallah puasanya; ada juga pandangan yang menyatakan bahawa tidak batal.
Dalam permasalahan ini, Sheikh al-‘Imrani menjelaskan bahawa terdapat dua pendapat (fatwa) Imam al-Syafi’i tentang isu ini, salah satunya puasa terbatal jika berniat untuk membatalkannya, kerana puasa ialah ibadah yang perlu kepada penentuan jenis puasa (ta’yin) dalam niat, dan ia akan terbatal jika berniat untuk keluar daripadanya.
Selain itu, para ulama Syafi’i mutaqaddimin(terdahulu) juga berselisih pendapat dalam perkara ini sama ada batal atau tidak. Namun begitu Imam Nawawi telah mentarjih salah satu daripada pandangan tersebut sebagai pandangan yang muktamad dalam mazhab, kata beliau:
وَلَوْ جَزَمَ نِيَّةَ الْخُرُوجِ مِنْهُ، لَمْ يَبْطُلْ عَلَى الْأَصَحِّ.
Maksudnya: Jika seseorang itu berniat secara pasti untuk keluar daripada puasa, menurut pendapat yang lebih sahih, puasanya tidak batal.
Perkara ini juga dijelaskan oleh ulama mutakhir mazhab Syafi’i, antaranya Sheikh Zakariyya al-Ansari yang menyatakan:
(وَلَوْ نَوَى الصَّائِمُ تَرْكَ الصَّوْمِ) مُنَجِّزًا أَوْ مُعَلِّقًا كَأَنْ قَالَ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ أَوْ إذَا جَاءَ فُلَانٌ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ (أَوْ) نَوَى (قَلْبَهُ نَفْلًا) أَوْ فَرْضًا آخَرَ (لَمْ يَضُرَّ كَالْحَجِّ)
Maksudnya: Jika seseorang yang berpuasa itu berniat untuk meninggalkan puasa secara pasti atau menggantungnya, contohnya dengan berkata “aku tinggalkan puasa” atau “aku keluar daripada puasa” atau “jika si fulan datang, aku tinggalkan / keluar daripada puasa” atau jika dia berniat untuk menukar niat puasa itu kepada puasa sunat atau puasa fardu yang lain, puasanya tidak batal, sepertimana haji.
Kesimpulan
Kesimpulannya, qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa jika seseorang itu berniat untuk membatalkan puasanya tapi tidak meneruskan niatnya itu, puasanya tidak terbatal.
Wallahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM