SOALAN
Assalammualaikum, saya mengalami istihadah, bagaimana hendak niat berwuduk untuk mengangkat hadas sedangkan darah sentiasa mengalir keluar? Mohon pencerahan S.S Mufti
Ringkasan Jawapan
Niat wuduk bagi wanita istihadah ialah “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat” tanpa perlu menyebut “mengangkat hadas”. Hal ini kerana wanita yang dalam istihadah darahnya terus menerus mengalir dan keadaan ini tidak terangkat hadasnya. Oleh itu wuduknya hanya berperanan untuk mengharuskan solat.
Huraian Jawapan :
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat
Perintah kewajipan melakukan solat bagi perempuan yang sedang beristihadah berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW kemudian dia bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, Aku perempuan yang mengalami darah istihadah, oleh itu aku masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak, kerana darah itu daripada urat ( sejenis darah penyakit) dan bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid (kadar adatnya), maka hendaklah kamu mandi membersihkan diri dan dirikanlah solat.”
Riwayat al-Bukhari (306)
Sementara itu, wanita istihadah (mustahadah) seperti orang yang sentiasa mengalami hadas. Maka wanita tersebut tidak boleh niat mengambil wuduk untuk menghilangkan hadas atau mengangkat hadas. Namun wanita istihadah perlu berniat wuduk dengan niat istibahah (استباحة) iaitu untuk tujuan mengharuskan solat didirikan. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Nawawi :
فروضه ستة أحدها: نية رفع حدث أو استباحة مفتقر إلى طهر أو أداء فرض الوضوء ومن دام حدثه كمستحاضة كفاه نية الاستباحة دون الرفع على الصحيح فيهما
Maksudnya:” Fardu wuduk ada enam, salah satunya niat mengangkat hadas atau mengharuskan perkara yang perlu kepada suci atau menunaikan fardu wuduk. Bagi orang yang sentiasa berhadas seperti wanita istihadah memadai niat mengharuskan tanpa menyebut mengangkat hadas menurut yang sahih pada keduanya .
Justeru itu, niat wuduk mustahadah tanpa menyebut “mengangkat hadas” seperti hukum niat tayammum dan juga tidak disyaratkan untuk menambah ” kerana Allah Taala (للَّهِ تَعَالَى).
Penutup
Berdasarkan pandangan fuqaha Syafie yang dikemukakan, niat wuduk wanita istihadah ialah niat istibahah (استباحة) untuk membolehkan solat didirikan. Sebagai contoh “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat”.
Wallahu A’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM