Normalisasi idea sekularisme yang menyerang umat

 

Idea barat yang menjadikan sekularisme sebagai jalan keluar daripada permasalahan mereka dari salah laku dan penyelewengan kuasa gereja dalam urusan masyarakat awam semakin lama berkembang menjadi satu fahaman atau agama baru yang cuba dipaksa untuk dianuti oleh semua manusia terutama orang-orang Islam.

Negara barat dan segala sistem politiknya tertegak atas dasar sekularisme yang memisahkan secara total agama dan cara hidup rakyat. Bahkan kini, mereka mahu semua untuk menerima dasar yang sesat ini yang bercirikan hak sama rata yang tempang, kebebasan tanpa sempadan, hubungan antara jantina yang songsang atas nama ‘nilai kemanusiaan’. Sesiapa yang menentang nilai-nilai ini dianggap sebagai mundur, zalim dan tidak bertamadun!

Barat memastikan idea sekularisme ini ada dalam semua cabang kehidupan manusia. Politiknya diberikan nama liberal dan demokrasi, dalam ekonomi dinamakan kapitalis, dan dalam nilai dan akhlak diberi nama kebebasan dan hak asasi. Inilah agama baru versi mereka.

Ketika para pendakwah Islam menyampaikan keindahan Islam yang bersumberkan wahyu dari Allah SWT Pencipta Seluruh Alam, maka mereka dituduh sebagai pemecah belah, pelampau agama dan pengganas. Tapi barat pula ada hak untuk menyerang negara-negara Islam sepanjang sejarah kemanusiaan dan berterusan hingga kini untuk menanam benih sekularisme dan memaksa nilai-nilai songsang ke atas orang-orang Islam.

Seruan barat memberi kata dua bahawa keamanan dan keadilan hanya akan tertegak dengan semua manusia berpegang teguh dengan nilai-nilai barat ini dan memberi gambaran bahawa nilai Islam hanya membawa kepada keganasan. Maka umat Islam yang lemah mula mencairkan identiti dan akidah mereka supaya dilihat sebagai adil, rahmah, progresif dan macam-macam lagi panggilan palsu yang diberikan oleh barat.

Nilai palsu ini kini mula menyerap masuk secara menggila dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Promosi nilai barat ini bermula daripada buku-buku, filem, lagu, seminar dan wacana, dan kini nasi lemak!!! Ambillah Islam semuanya dan tolak nilai yang rosak ini sehabisnya.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts