Nur Shafika tetap santuni ibu bapa walaupun sudah melafaz kalimah syahadah

 

MELAKA: Pada 19 September 2006, Francisca Elizabeth Fernandez yang ketika itu berusia 23 tahun membuat keputusan nekad melafaz dua kalimah syahadah selepas bertahun-tahun mempelajarinya sedikit demi sedikit termasuk pernah mengikuti rakan beragama Islam ke masjid.

Wanita berbangsa Serani yang kini memilih namanya sebagai Nur Shafika Fernandez, 37, tahu kedua-dua ibu bapanya, Peter Dominic Fernandez dan Marjorie Theseira pasti terkejut dan kurang selesa dengan tindakannya itu.

Meskipun memiliki seorang ibu saudara yang terlebih awal memeluk agama Islam, Nur Shafika yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuda Melayu tujuh tahun kemudian tidak pernah menceritakan hasratnya kepada wanita itu termasuk selepas dia mengucap.

“Saya merahsiakan perkara ini di peringkat awal kerana tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga terutama sekali ibu bapa, tetapi lama-kelamaan mereka sendiri mengetahuinya dan reaksi mereka sudah tentu marah dengan tindakan saya.

“Tetapi perkara itu tidak lama kerana mereka akhirnya dapat menerima jalan yang saya pilih. Namun, sejak hari pertama saya mengucap dua kalimah syahadah, saya berjanji dengan diri bahawa ikatan anak dan ibu bapa serta adik-beradik saya tidak akan terputus walau apa pun terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tanggal 27 Disember 2013 pula menjadi tarikh manis buat anak kedua daripada empat beradik itu apabila Nur Shafika bertemu jodoh dengan Erman Zainudin, 37, yang kini dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, Az Yusuf Islam, 6; Muhammad Zulqarnain, 4, dan Muhammad Qayum, 2.

Katanya, mereka berkenalan ketika sama-sama bekerja di tempat yang sama dahulu sebelum memutuskan untuk membina mahligai rumah tangga.

“Selepas berkahwin, saya banyak mempelajari tentang agama Islam daripada suami dan keluarga mentua, tetapi pada masa sama saya juga ada seorang kenalan yang bertugas sebagai seorang doktor di Hospital Melaka yang banyak membantu saya mengenai Islam.

“Memang rasa diri sangat tenang selepas memeluk Islam walaupun pada awalnya terpaksa melakukan ibadah secara sembunyi-sembunyi kerana keluarga belum tahu tetapi selepas mereka dapat menerimanya saya lega,” katanya yang kini mengusahakan kedai makan di Kampung Portugis.

Mengenai sambutan Hari Krismas, Nur Shafika berkata, dia tidak pernah lupa mengunjungi kedua-dua ibu bapanya dan adik beradik lain setiap tahun termasuk membantu mereka mengemas dan menghias rumah menjelang pera­yaan itu.

“Lagi pun rumah saya tidak jauh daripada rumah keluarga, boleh dikatakan setiap hari juga saya berkunjung lebih-lebih lagi bapa baru dibenarkan keluar wad selepas mengalami simptom penyakit angin ahmar sejak beberapa minggu lalu.

“Saya juga bantu ibu di dapur untuk menyediakan juadah tradisi seperti Kari Devil Portugis, Ayam Turkey dan beraneka pai untuk dihidangkan pada hari raya, cuma tahun ini sambutan secara sederhana dilakukan memandangkan Covid-19 masih ber­legar,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts