OIC digesa isytihar ‘Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin’

 

SELURUH dunia, terutama negara Islam kini tertumpu di Istanbul, lokasi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai konflik terkini Palestin-Israel berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel menggantikan Tel Aviv.

Umat Islam juga menaruh harapan tinggi hasil sidang kemuncak yang dihadiri pemimpin 57 negara anggota ini.

Bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat dunia atas nama kemanusiaan juga menunggu kandungan Deklarasi Istanbul yang dijangka diumumkan petang ini waktu Turki.

Pemimpin negara OIC akan berkumpul di Lutfi Kirdar Congress Center, dalam persidangan dicetuskan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang juga pengerusi OIC itu dengan harapan mencapai kata sepakat menangani isu yang mendapat bantahan dan kecaman seluruh dunia, khususnya umat Islam.

OIC secara rasmi menyokong pembentukan dua negara selaras ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik Palestin-Israel, tetapi tindakan Presiden Donald Trump menyatakan sokongan dan mengarahkan kedutaan AS berpindah ke Baitulmaqdis, menimbulkan konflik baharu, ketegangan dan membangkitkan kemarahan umat Islam serta menjejaskan pelan damai yang sudah terlalu lama tanpa penyelesaian.

Menurut kenyataan media OIC, pegawai kanan dan Majlis Menteri Luar OIC akan duduk semeja hari ini dan pagi esok untuk mencapai kata sepakat mengenainya dan membincangkan kesan tindakan AS itu yang kemudian diputuskan oleh ketua negara dan ketua kerajaan untuk dijadikan ketetapan OIC.

Antara yang dibincangkan ialah kesan daripada segi perundangan, status politik dan sejarah berikutan ‘penaklukan’ bandar suci Islam itu dan negara Palestin secara keseluruhan.

Pembabitan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sidang kemuncak dimulakan dengan ucapan Erdogan, diikuti oleh Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Ia diikuti kenyataan oleh ketua delegasi OIC, termasuk oleh Najib, disusuli penerimaan draf Pernyataan Rasmi Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC dan seterusnya pengisytiharan Deklarasi Istanbul.

Sementara itu, Adnan al-Husayni, Gabenor Baitulmaqdis Pihak Berkuasa Palestin mencadangkan OIC isytiharkan ‘Baitulmaqdis ibu kota’ sebagai tindak balas terhadap Trump.

“Ini yang perlu dilakukan sebagai tindak balas terhadap Trump.

“Kita tahu Baitulmaqdis ibu kota, tapi anda (OIC) perlu buat pengisytiharan. Ini akan beri impak politik yang kukuh,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar Hurriyet Daily News.

Beliau juga membidas Trump yang menurutnya tidak ada hak ke atas Baitulmaqdis.

“Trump mahu menunjukkan beliau membantu Zionist dan orang Israel di sini. Namun kami yang berhak bercakap mengenai masa depan Baitulmaqdis, bukan Trump,” sambil menegaskan intifada akan diteruskan sehingga ada ‘langkah positif’ diambil.

Apa yang dimaksudkan oleh al-Husainy itu amat jelas bahawa keputusan Tel Aviv dan Trump perlu ditarik balik dan sidang kemuncak OIC ini menjadi harapan bukan sahaja kepada Palestin, malah umat Islam dan masyarakat dunia. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts