Orang bijak melihat hidup sebagai persediaan kehidupan selepas mati

 

Kita bermula dari tanah, dan akan kembali ke tanah. Di antara keduanya itu berlaku seberapa banyak kisah dan episod, suka dan duka, yang hanya diketahui oleh diri dan Tuhan, untuk akhirnya kembali ke titik kematian.

Dalam kehidupan, apabila kita mengenal asal usul akan menjadikan kita tidak lupa diri, apabila kita memikirkan ke mana kita akan pergi, kita akan sentiasa bermuhasabah sehari-hari sebagai bekalan di kemudian hari.

Titik permulaan telah memberikan pengenalan pertama kepada diri kita, namun titik terakhir kita pula yang memberikannya sendiri untuk diri kita.

Hakikatnya di antara dua titik, ia adalah sebuah kesinambungan, yang mana satu titik akan menuju ke titik yang seterusnya, hingga menutupi kitaran sebuah kehidupan. Ia memberi mesej bahawa setiap yang kita lalui dalam hidup adalah satu perkaitan yang langsung, dengan apa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas.

Orang yang bijak adalah orang yang melihat kehidupannya sebagai satu set yang perlu dipersiapkan untuk kehidupan selepas mati. Dia akan melihat segenap peluang yang ada bagi mendapatkan bekalan bagi satu perjalanan yang cukup panjang, beribu kali ganda lebih lama daripada kehidupannya di dunia.

Itu mengenai kehidupan. Jika kita perhatikan, itulah juga hakikat kitaran kerohanian.

Kita memulakan perjalanan dengan mengucap kalimah syahadah, dan akan diakhiri (insyaAllah) dengan kalimah syahadah. Di antara kedua-dua titik kalimah syahadah itu, kita akan melalui pelbagai episode kerohanian, naik turunnya, sedih dan gembira, khauf dan raja’, istiqamah dan futur, maksiat dan taubat, ghurur (tertipu) dan insaf, begitulah hingga ke akhirnya. Setiap ujian-ujian yang diberikan oleh Allah hanyalah bertujuan membuktikan bahawa kita ini benar-benar beriman ataupun tidak..

Di dalam Al-Quran berapa banyak disebut bahawa orang yang diberikan hidayah akan terus diberikan hidayah. Ini bermakna kitaran kerohanian dan hidayah itu adalah satu rantaian perjalanan yang panjang, setiap satunya mempengaruhi ‘ahwal’ yang datang selepas itu. Segugus kumpulan kerohanian akan menjemput kumpulan-kumpulan yang lain, membawa manusia ke maqam dan darjat yang lain, bagi melengkapkan sebuah kitaran kerohanian.

Manusia yang bijak adalah yang melihat bahawa kerohaniannya itu perlu dilengkapkan hingga mencapai martabat ‘ketenangan hakiki’, jiwa yang sejahtera (qalbun saleem), hingga mampu mati dalam keadaan terbaik bagi menyiapkan ketenangan rohaninya menuju alam selepas kematian.

Sepertimana dalam kehidupan kita boleh dapati sebanyak mungkin tips-tips untuk meneruskan kehidupan dengan penuh kebahagiaan dan kestabilan, hakikatnya dalam kitaran kerohanian setiap madarij (anak tangga) itu ada kriteria-kriteria khusus, ia ditulis oleh beberapa ulamak dalam kitab-kitab tertentu, tetapi ia bukanlah semestinya semuanya, kerana kerohanian itu jika ia hanya wujud dalam tulisan, maka namanya adalah penulisan.

Berapa banyak makna yang tidak mungkin ditulis, tetapi perlu di’rasa’i oleh seseorang, sehinggakan 1 juta perkataan pun tidak mampu menterjemahkan maknanya di dalam persuratan. Sebab itu bahasa Arab merupakan bahasa yang paling kaya dalam mentakbir makna, satu makna yang umum boleh ditakbir dengan berpuluh perkataan bagi menggambarkan makna yang khusus pada sesetiap keadaan, begitulah seadanya.

Dalam merungkai rahsia-rahsia kerohanian, selain daripada ahwal dan makrifat yang dianugerahi oleh Allah kepada para murid dan salik (pejalan menuju jalan Allah), kita dapati Al-Quran telah banyak mengajar kita kitaran kerohanian yang sepatutnya kita lalui.

Dalam mengurus gejolak jiwa yang tidak tenteram, Allah SWT menyebut bahawa perihal mukmin itu hakikatnya punyai jiwa yang stabil dan tenang. Disebut bahawa mengingati Allah hati akan menjadi tenang, disebut juga bahawa ciri-ciri mukmin itu menunaikan solat, menunaikan zakat dan bersedekah, menunaikan janji dan menjaga kehormatan mereka, serta ia diakhiri pula dengan sifat menjaga solat.

Dalam mengenengahkan kewajipan berqiamullail, dalam surah Al-Muzzammil, ia bermula dengan suruhan qiamullail, diikuti dengan kebertanggungjawaban terhadap risalah yang dipikul, serta cabaran yang akan dihadapi, cerita pula mengenai kisah-kisah nabi sebelum Rasulullah SAW, kemudian diturunkan pula ayat rukhsah daripada wajib qiamullail kepada sunat, dan diakhiri dengan suruhan untuk menunaikan solat, dan tunaikan zakat serta berikan pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik.

Dalam surah Al-Hajj, pada 2 ayat terakhir, diturunkan pula arahan untuk solat, ibadah, dan berbuat kebajikan, hingga membawa kepada seruan jihad (perjuangan), lalu diakhiri pula dengan suruhan (sekali lagi) untuk solat dan zakat serta meletakkan pergantungan kepada Allah.

Seolah-olah kehidupan mukmin itu, solat adalah permulaannya dan bekalannya dalam alam perjuangan, hingga akhirnya perjuangan itulah yang membawa mereka agar mampu mati dengan solat yang sempurna.

Titik pengenalan kita dengan Tuhan adalah melalui solat yang kita pelajari sejak kecil. Titik pengakhiran kita dengan Tuhan adalah sejauhmana kita perbaiki diri kita, hingga kita mampu solat dengan sesempurna mungkin.

Solat yang sempurna bukanlah bermaksud semata-mata melengkapkan rukunnya, sunatnya dan syaratnya selengkap mungkin. Bahkan solat yang benar-benar sempurna adalah solat orang yang berjuang, mempertahankan agamanya pada skala masing-masing, sepertimana yang disarankan dalam ayat tadi.

Solat itu sempurna, apabila jiwa orang yang solat itu sempurna. Sempurna imannya. Sempurna rasa ghairahnya terhadap agamanya. Sempurna niatnya. Sempurna tekad dan ketulusannya dalam benar-benar mempertuhankan Tuhan di alam ghaib dan alam nyata.

Solat orang yang demikian akan benar-benar sempurna, kerana dalam solatnya beliau mengadu, meletakkan pengharapan, menitip hajat dan menyerlahkan kepasrahan, mengadu dengan sebaik-baik aduan, serta mencari Tuhan pada sebaik-baik tujuan.

Itulah roh solat Rasulullah SAW, dan para sahabat.

Bagaimanakah solat itu benar-benar bermakna bagi diri mereka ? Jika bukan kerana apa yang mereka hajati semuanya ada dalam solat ?

Intipati solat itu diterjemahkan ke dalam kehidupan, berbentuk suatu perjuangan yang tidak kenal erti penat lelah, mengorbankan perkara yang mahal tanpa berkira-kira, melihat diri dalam kerangka kitaran sebuah rantaian kehidupan yang sentiasa terikat dengan ihsan dan muraqabah Tuhan, melihat kerangka kehidupan dalam ubudiyah dan kesyukuran, lalu menghasilkan jiwa yang penuh ketenangan dan ketakutan. Tenang kerana fahami bahawa Tuhannya tidak pernah menzalimi sesiapa. Takut kerana risau dirinya tertipu dengan amalan dan terjebak dalam tipudaya nafsu dan syaitan.

Apabila demikian, walaupun solatnya sudah selesai, hakikatnya, dia masih dalam mikrajnya, bersama Tuhannya.
“Dan mintalah tolong dengan kesabaran dan solat, dan sesungguhnya perkara itu adalah berat (besar) melainkan kepada sesiapa yang khusyuk. Iaitu orang yang meyakini bahawa mereka akan bertemu Tuhannya, dan akan kembali kepada-Nya” – Surah Al-Baqarah

Ya, hakikat khusyuk itu akan melahirkan kesabaran. Sepertimana bagi mendapat ‘khusyuk’ kita memerlukan kesabaran. Khusyuk adalah sebuah keadaan jiwa, hasil dan anugerah yang Allah bagi, bagi jiwa-jiwa yang sentiasa melihat dengan neraca ketuhanan.

Ya, ia berat bagi orang yang jiwanya terikat dengan alam nyata, tidak terlangkau olehnya alam ghaib yang penuh rahsia, dirinya tertipu dengan pancainderanya sendiri, imannya terpaut kepada undang-undang sebab dan musabbab, hatinya buta kerana tertutup dengan keegoan akalnya, akhirnya pergantungannya hanyalah kepada kegelapan, yang terhasil daripada sebuah kegelapan.

“Kegelapan di atas kegelapan, apabila dia keluarkan tangannya dalam kegelapan itu hampir-hampir dia tidak dapat melihatnya. Barangsiapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah, nescaya tiadalah cahaya baginya” –Surah An-Nur

Ya, khusyuk itu adalah keyakinan, bahawa kita akan bertemu Tuhan. Sepertimana kita sudah mengikat janji setia kepada-Nya sejak di alam roh lagi. Pengetahuan ini akan membuahkan kesabaran, ia juga akan membuahkan solat dalam penuh makna dan erti, bagi seorang hamba yang benar-benar menginsafi. Keyakinan ini terikat pada husnuzzon kepada Tuhan, tiada yang memberi mudarat dan manfaat selain-Nya, tiada yang mampu berbuat apa-apa tanpa keizinan-Nya.

Kita tidak akan lari daripada kitaran ini, ia adalah sunnatullah dan ketetapan bagi kehidupan. Rantaian kerohanian ini jika tidak diikuti dengan baik akan menatijahkan satu hasil yang cukup menakutkan, berupa fasiq, munafiq atau kekufuran (nauzubillah min zalik).

Demikian hakikat kitaran sebuah kewujudan, setiap perkara sedang memainkan peranan dalam kitaran masing-masing. Setiap makhluk sedang berputar pada paksi kewujudannya. “Kullun fi falakin yasbahuun” – Surah Yaasiin.

Apabila kita ketahui perkara ini, ketahuilah bahawa ;
Yang memulakan putaran ini adalah Dia, yang menghentikannya juga adalah Dia.
Maka ketahuilah ; segala apa yang tersangkut pada-Nya, adalah benar-benar bermakna.

“Dialah Yang Terawal, Yang Terakhir, Yang Zahir, Yang Batin, dan Dialah Maha Mengetahui segala perkara” – Surah Al-Hadid

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts