Pakaian sukan patuh syariah tak boleh dilaksana sepenuhnya

KUALA TERENGGANU – Garis panduan pemakaian sukan patuh syariah melibatkan atlet sukan negeri tidak dapat dikuat kuasa sepenuhnya susulan terikat dengan peraturan sukan antarabangsa.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim menyatakan kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri pada Mac 2020 yang mengandungi etika serta standard pakaian melibatkan atlet dan jurulatih muslim.

Bagaimanapun, beliau berkata, konsep patuh syariah berkenaan terpaksa diubah suai kepada pendekatan mesra syariah yang lebih berhemah selain bersifat mendidik.

“Buat masa ini kita membuat penetapan dasar atlet patuh syariah tetapi dibaiki sedikit. Patuh syariah itu tak boleh patuh syariah sepenuhnya.

“Jadi kita telah bawa pendekatan mesra syariah sebagai langkah mula untuk lakukan proses perubahan.

“Proses ini perlu kepada proses di mana kita didik kesedaran kepada semua atlet. Ia lebih pada proses pendidikan, beri tempoh dan kesesuaian dengan pendekatan kita terokai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Rabu.

Mengambil contoh sukan berbasikal, Hishamuddin menyatakan pematuhan syariah melibatkan sukan itu agak sukar susulan ia bergantung pada isu keselamatan dan undang-undang ditetapkan.

“Kalau masuk perlumbaan, ia bergantung pada undang-undang Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), maka tidak semudah ia (patuh syariah) terus diguna pakai. Jadi kita sesuaikan (peraturan) mengikut keadaan dari masa ke masa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menjelaskan, bagi membuktikan kesungguhan kerajaan ke arah pemakaian yang patuh syariah di kalangan atlet maka pihaknya telah melibatkan mufti dalam Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang memantau secara langsung serta memberi nasihat berkaitan hal berkenaan.

Menurutnya, di peringkat MSNT sendiri, seorang kakitangan khusus iaitu pegawai agama ditempatkan yang berperanan sebagai jurulatih kerohanian untuk mengendalikan pelbagai aktiviti keagamaan untuk atlet.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan menerapkan pendekatan mesra syariah di kalangan atlet muslim bagi mendidik golongan itu ke arah etika pemakaian yang mematuhi syariah.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 disebabkan masalah pakaian yang dilihat terlalu ketat selain menampakkan bentuk tubuh.

“Buat masa ini kita tak teruskan (sukan gimnastik). Kita tak berkompromi dalam perkara ini dan mana-mana pihak perlu hormati pendirian kita.

“Kita tak katakan bahawa benci sukan itu tetapi membiarkan atlet kita dalam keadaan macam itu, ia adalah tidak sesuai.

“Bagaimanapun, garis panduan tersebut hanya tertakluk kepada atlet Muslim manakala bukan Muslim tidak terikat dengan polisi kita,” ujarnya. – SInar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts