BAITULMAQDIS – Palestin menggesa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan situasi di Baitulmaqdis.
Ia susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan juga rancangan untuk memindahkan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Menteri Luar Palestin, Riad al-Maliki berkata, langkah AS itu hanya akan memberi kesan serius dan memusnahkan proses damai.
Malahan katanya, ia akan mewujudkan keadaan tidak stabil di wilayah Palestin dan rantau berkenaan.
Sehubungan itu beliau mendesak mesyuarat tergempar diadakan menerusi perbualan telefon dengan ketua Liga Arab, Ahmed Abul-Gheit dan Setiausaha Agung OIC, Yousef al-Othaimeen.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Hogan Gidley memaklumkan, keputusan untuk memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak akan dibuat hari ini.
“Tiada keputusan akan dibuat mengenai perkara itu hari ini dan kami akan mengisytiharkan keputusannya beberapa hari lagi,” kata Gidley. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)