Pandangan Idris isu Bon Odori, Oktoberfest perlu dihormati

KUALA LUMPUR: Pendapat dan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang melarang umat Islam daripada menghadiri acara Bon Odori dan Oktoberfest tidak seharusnya dipertikai khususnya oleh orang bukan Islam.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad, berkata pandangan pemimpin itu sama sekali tidak menyentuh mengenai kepentingan orang bukan Islam.

“Sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya dan agama contohnya Bon Odori dan Oktoberfest yang sebenarnya bukanlah sebahagian budaya masyarakat kita. Kalau pun kita ada perbezaan seperti itu dan menteri sudah menyatakan pandangan beliau, saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing.

“Cuma kita tidak menggunakan undang-undang untuk menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka. Jadi dalam kes ini, saya fikir, tiada salahnya menteri agama mengatakan sebegitu sebagai seorang Muslim dan seorang yang menjaga autoriti agama,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan sama ada larangan dikeluarkan Idris sebelum ini secara tidak langsung turut mengganggu amalan dan budaya orang bukan Islam.

“Orang lain tak perlu bisinglah soal agama (Islam). Kepercayaan kepada tuhan adalah satu perkara yang penting dalam kita membina masyarakat dan semua agama menolak sebarang amalan yang merosakkan kesihatan.

“Semalam, kita berbincang tentang rokok dan hari ini kita bertanya pula tentang arak. Kalau kita boleh menyokong menteri agama atas sebab kesihatan pun, sudah memadai sebenarnya,” katanya.

Bon Odori adalah festival yang disambut pada musim panas di Jepun dan majlis ini diadakan sebagai menghormati nenek moyang mereka menerusi persembahan serta perayaan dan tarian.

Oktoberfest pula adalah pesta minum arak yang bermula di Munich, Jerman pada 12 Oktober 1810 bagi meraikan perkahwinan putera mahkota Bavaria, yang kemudian menjadi Raja Louis I. Tahun ini Oktoberfest diadakan dari 17 September hingga 3 Oktober.

Bulan lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dalam jawapan di Dewan Rakyat menyebut: “Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.”

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS- Batang Lupar), Wan Ahmad Faysal berkata, Kementerian Perpaduan Negara adalah peneraju induk agenda perpaduan nasional yang bersifat inklusif.

Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2030 sudah dihasilkan sebagai pelan induk yang menyusun pelbagai program membabitkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan masyarakat umum.

“Dokumen dasar dan pelan tindakan ini juga adalah panduan dan rujukan untuk kedua-dua pemimpin negara dan jua rakyat. Ia juga membolehkan program-program dalam kalangan masyarakat direncana dan dilaksanakan dengan lebih terancang dan efektif,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts