Pandangan MUIS berkenaan meraikan perayaan agama bukan Islam

12391419_1195361327144628_2938905637454791357_n

 

Setiap individu muslim hendaklah meyakini bahawa hanya Islamlah agama yang benar dan diterima Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran (Ali ‘Imran: 19):

Yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah SWT ialah Islam.”

Seorang Muslim juga perlu meyakini bahawa agama selain daripada Islam adalah ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah (Ali ‘Imran: 85)

Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk di kalangan orang yang rugi.”

Oleh kerana itu, setiap tindakan, amalan atau pengucapan seorang Muslim yang menggambarkan seolah-olah beliau menerima kepercayaan dan amalan agama lain hendaklah dihindari.

Namun begitu sifat toleransi dalam Islam tidak sama sekali menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran agama yang mereka anuti. Hakikat ini dapat kita fahami melalui beberapa ayat al-Quran, antaranya firman Allah SWT (al-Baqarah: 256):

Yang bermaksud: “Tiada paksaan dalam beragama.”

Islam juga tidak menghalang umatnya untuk berbuat baik kepada penganut agama lain yang tidak menyatakan permusuhan kepada umat Islam. Firman Allah SWT (al-Mumtahanah: 8):

Yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

HUKUM MELIBATKAN DIRI DALAM PERAYAAN BUKAN ISLAM

1. Telah menjadi kesepakatan para ulama muslimin bahawa adalah haram bagi mana-mana orang Islam menyertai atau melibatkan diri dalam mana-mana perayaan yang berkaitan dengan ajaran agama bukan Islam apatah lagi sekiranya disertakan dengan perlakuan atau ucapan yang haram, seperti minum arak, pergaulan bebas, mengucapkan keberkatan dan seumpamanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya: Barang siapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum maka ia tergolong dalam kaum berkenaan. (Hadith riwayat Abu Dawud dan Ahmad; al-Suyuti menyatakan hadith tersebut bertaraf Hasandan al-Albani menyatakannya sebagai hadith Sahih).

‘Ata’ bin Dinar pula telah berkata bahawa Umar r.a. berkata: Janganlah kamu memasuki gereja orang musyrik pada hari kebesaran mereka kerana kemurkaan Allah sedang menimpa mereka. (Ibn Taimiyyah, Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim wa Mukhalafat Ashab al-Jahim). Kehadiran sebegini mungkin boleh menggambarkan keredaan kita terhadap amalan mereka tersebut.

2. Andainya perlakuan atau ucapan yang lahir daripada orang Islam itu menggambarkan reda dengan agama mereka seperti memuja, menyembah dan memuji-muji sembahan mereka, maka perkara tersebut dibimbangi boleh membawa kepada kemurtadan.

3. Adalah dibenarkan kepada orang-orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis keraian orang-orang bukan Islam yang tidak berkaitan dengan ajaran agama seperti majlis keraian sempena kejayaan dalam kerjaya, majlis keraian sempena kejayaan anak-anak, majlis perayaan berkaitan rumpun bangsa yang tidak ada kaitan dengan kepercayaan agama mereka dan seumpamanya. Kesemua ini dengan syarat tidak bercampur dengan perkara-perkara jelas haram di sisi Islam, seperti minum arak, berzina, memakan makanan yang tidak halal dan seumpamanya.

HUKUM MENGUCAP TAHNIAH KEPADA GOLONGAN BUKAN ISLAM SEMPENA PERAYAAN MEREKA

Berdasarkan beberapa pandangan ulama muslimin sama ada ulama klasik mahupun ulama kontemporari mengenai perkara di atas, pihak MUIS berpandangan bahawa hukum mengenainya perlu dibahagikan kepada dua keadaan:

1. Mengucap tahniah kepada golongan bukan Islam di atas perayaan yang mereka raikan, seperti mengucapkan kata-kata: “Semoga anda mendapat keberkatan di hari yang mulia ini”, “Semoga mendapat restu daripada tuhan” dan sebagainya. Ucapan-ucapan seperti ini hukumnya adalah haram. Ini adalah bersandarkan kepada:

i) Allah memerintahkan agar orang Islam berdoa agar dijauhkan daripada mengikuti jalan orang kafir dan diberi petunjuk mengikuti jalan yang lurus menerusi ayat (al-Fatihah: 6-7):

Yang bermaksud: “Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah engkau beri nikmat ke atas mereka dan bukannya jalan orang-orang yang engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.”

ii) Firman Allah SWT (al-Jathiyah: 18):

Yang bermaksud: “Kemudian kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) dari urusan (agama), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”

2. Mengucap tahniah kepada diri golongan bukan Islam dan bukannya perayaan yang mereka raikan, seperti mengucapkan kata-kata: “Semoga anda berbahagia”, “Tahniah!”, “Semoga anda mendapat hidayah” dan sebagainya. Ucapan-ucapan seperti ini adalah diharuskan. Sekiranya ucapan tahniah ini dilakukan melalui kad-kad ucapan, maka hendaklah berwaspada daripada meletakkan ayat-ayat al-Quran di dalamnya, demi memelihara kesucian kitab suci al-Quran. Juga jangan sama sekali menggunakan kad-kad ucapan yang ada kaitan dengan ajaran agama mereka.

Membuat ucapan sebegini akan lebih terserlah keperluannya jika sekiranya dibuat kepada mereka yang mempunyai hubungan keluarga, kawan karib dan sebagainya, atau mereka juga membuat ucapan yang sama kepada kita pada hari perayaan kita seperti hari raya Aidil Fitri dan sebagainya. Ia juga menggambarkan toleransi Islam kepada penganut agama lain tanpa meleburkan pegangan seorang Muslim atau menggambarkan keredaannya dengan ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam.

Pihak MUIS menyedari terdapat ulama yang menolak secara total perkara yang disebutkan di atas, termasuklah mengucapkan selamat kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka seperti Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim. Namun begitu, pihak MUIS merasakan garis panduan di atas adalah lebih sesuai diamalkan di dalam suasana masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Pihak MUIS menyeru umat Islam agar sentiasa bersikap prihatin terhadap perkara-perkara akidah yang boleh menjejaskan keislaman seorang Muslim dan berusaha menggelakkan sebarang perkara yang boleh merosakkan keislaman kita. Wallahu A’lam.

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَنَشْهَدُ أَنْ لاَّ إلَهَ إلاَّ أنْتَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَنَتُوْبُ إلَيْكَ

Yang benar,

Dr Aznan Hasan,
Pengerusi,
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts