Pasangan yang memberi kebahagiaan

 

1. DALAM menerangkan tentang kebahagiaan, Rasulullah meletakkan isteri yang solehah sebagai elemen yang paling utama dalam mencapai ketenangan hidup. Sabda Rasulullah:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء

“Empat daripada perkara kebahagiaan iaitu isteri (atau pasangan) yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik serta kenderaan yang tenang.” (HR al-Hakim)

2. Pada hakikatnya, sifat soleh atau solehah tersebut bukan sekadar untuk dirinya sendiri sahaja bahkan seseorang itu seharusnya berupaya memberi ketenangan kepada pasangannya.

3. Ini selaras dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah buat manusia. Al-Quran menjelaskan bagaimana setiap pasangan itu adalah tempat untuk seseorang memperoleh ketenangan jiwa. Firman Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا

“Dan di antara tanda kebesaran Allah, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dalam kalangan kamu, supaya kamu memperoleh ketenangan dengannya.” (Surah al-Rum: 21)

4. Ketika penurunan wahyu pertama berlaku, Rasulullah pulang dalam keadaan cemas dan ketakutan. Bahkan Baginda mengadu kepada Saidatina Khadijah tentang kebimbangannya terhadap dirinya sendiri. Ketakutan ini dileraikan dan ditenangkan oleh Khadijah.

5. Di sini jelas terpamer peranan Khadijah sebagai agen yang menyuntik ketenangan buat Baginda Nabi. Khadijah bukan sahaja menyelimutkan Baginda, memujuk Nabi bahkan menyebutkan sifat-sifat baik memuji Rasulullah bagi menenangkan Baginda. Perhatikan bagaimana pasangan kita seronok ketika dipuji. Bukankah ia menyuntik kebahagiaan seketika?

6. Begitulah ketika kepulangan suami/isteru yang pulang dalam keadaan dirundung kebimbangan tidak seharusnya disambut dengan pertambahan kekusutan masalah yang lain sebaliknya ditenangkan kemelut pasangan tersebut.

7. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Saidatina Ummu Sulaim yang tidak menceritakan tentang kematian anaknya kepada suaminya Abu Talhah sehingga sesudah diselesaikan urusan Abu Talhah.

Menurut riwayat al-Bukhari, Ummu Sulaim dikatakan menguruskan segala keperluan Abu Talhah dahulu dan mencari waktu yang sesuai untuk disampaikan berita sedih tersebut. Perhatikan bagaimana pasangan memainkan peranan penting dalam menghadapi kemelut domestik.

8. Atas dasar itu Rasulullah menjelaskan bahawa sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Mereka bukan sekadar menenangkan mata yang memandang bahkan menyejukkan jiwa yang kekusutan. Sabda Rasulullah:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts