Pastikan titik hitam kejatuhan Melaka tidak berulang: Sultan Nazrin


MELAKA – Rakyat perlu menjadikan titik-titik hitam sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu sebagai renungan agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amanat itu dizahirkan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah semasa berangkat ke negeri ini pada 12 Julai 1990, merupakan peringatan yang kekal dan wajib dijadikan renungan.

Titah baginda, meskipun sudah 28 tahun berlalu, amanat Almarhum itu wajar dijadikan pedoman kepada semua umat Islam di bumi ini.

“Sultan Azlan Shah mangkat pada 28 Mei 2014. Kata-kata yang dizahirkan lebih 28 tahun lalu itu merupakan peringatan yang kekal hidup.

“Ia wajib dijadikan renungan, agar umat Islam di bumi ini, tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang – kalah menjadi abu, kerana kecenderungan untuk terus bersengketa,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan watikah Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka di Hotel Equatorial di sini pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan watikah kepada 15 Ahli MAIM dan 21 Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah negeri ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob; Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Antara kandungan titah Almarhum Sultan Azlan mengandungi baris-baris berikut:

“Rakyat Melaka seharusnya berbangga dengan sejarah dan kegemilangan empayar Melaka.

“Aspek kejayaan dan keagungan Kesultanan Melaka sebagai pusat perdagangan, pertumbuhan kebudayaan dan penyebaran agama Islam harus dijadikan penggalak untuk kita mencapai kecemerlangan masa hadapan.

“Walau bagaimanapun terdapat titik-titik hitam dalam sejarah Melaka yang harus kita renungkan bersama agar ia tidak berulang.

“Di samping kita berbangga dengan kejayaan Melaka, kita harus menjaga perpaduan oleh sebab perpecahan, perselisihan faham dan perebutan kuasa adalah antara faktor-faktor yang menjatuhkan keagungan Kesultanan Melaka sehingga Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa Barat.” – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts