Pada tahun ini, umat Islam khususnya di negara ini akan menyambut Aidiladha ketika pandemik wabak COVID-19 masih membadai buat kali kedua. Prosedur operasi standard (SOP) sambutan kali ini dilihat lebih ketat berbanding tahun lalu dengan Malaysia masih lagi dalam penguatkuasaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan.
Tiada pergerakan rentas daerah mahupun negeri dibenarkan apatah lagi amalan kunjung-mengunjung. Ibadat utama pada Aidiladha, iaitu penyembelihan korban turut diperketatkan.
Tiada lagi penyembelihan di lokasi persendirian atau di masjid dan surau kecuali dengan kebenaran khas pihak berkuasa. Penyembelihan hanya dibenarkan di pusat penyembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS) dengan SOP ketat.
Bagi sesetengah pihak, semua sekatan ini dilihat menjejaskan kemeriahan sambutan hari raya hingga ada bertindak di luar batasan seperti memalsukan dokumen perjalanan supaya dapat membuat pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung.
Tindakan sebegini sangat tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan implikasi buruk bakal timbul akibat kedegilan mereka.
Hakikatnya, apa dilaksanakan pemerintah ketika ini adalah semata-mata untuk membendung penularan wabak COVID-19, sekali gus bertepatan kaedah fiqh ‘al-dararu yazal’, iaitu mudarat mesti dilenyapkan. Namun, sudah pastilah pematuhan segala peraturan ini memerlukan pengorbanan semua pihak.
Di sinilah kematangan umat Islam dituntut supaya menghayati hikmah di sebalik segala sekatan dikuatkuasakan dalam merayakan hari raya korban ini.
Aidiladha menuntut kita menginsafi semangat keimanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anakandanya, Nabi Ismail AS demi takwa kepada Allah SWT. Ini dizahirkan umat Islam dengan melaksanakan ibadah korban pada 10 Zulhijah dan tiga hari Tasyrik.
Namun ketika berhadapan situasi pandemik ini, amalan sembelihan perlu dilihat dalam konteks pengorbanan demi kemaslahatan masa depan lebih sejahtera untuk umat Islam dan dunia keseluruhannya.
Apalah sangat dengan pengorbanan kita tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikan Aidildaha bersama keluarga berbanding pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim AS.
Apabila peraturan PKP meminta kita agar kekal duduk di rumah jika tiada keperluan keluar, maka inilah masa terbaik untuk kita memenuhi tuntutan sebenar Islam dalam meraikan Aidiladha dengan memperbanyakkan ibadah zikir, salawat dan bertakbir.
Peluang ini juga harus digunakan sebaik mungkin untuk merapatkan hubungan dan keharmonian dalam keluarga.
Apabila tidak dapat ke masjid untuk bersolat hari raya, inilah masanya amalan solat berjemaah bersama keluarga di rumah dapat dipraktikkan. Ketua keluarga berpeluang melatih diri menjadi imam dan khatib bagi solat hari raya, ada anak lelaki berpeluang melaungkan azan di samping amalan bertakbir dapat dibuat bersama seluruh ahli keluarga di rumah.
Kita juga amat digalakkan bersedekah sempena hari raya ini. Sebelum ini, sedekah hanya tertumpu kepada agihan daging korban kepada fakir miskin dan asnaf. Namun, kita boleh menggunakan peruntukan biasanya digunakan untuk perbelanjaan pulang ke kampung mahupun penyediaan juadah untuk tetamu dengan memberi bantuan kepada jiran tetangga terjejas kehidupan akibat pandemik ini.
Dengan cara berkongsi rezeki ini, ukhuwah dan silaturahim bersama ahli masyarakat dapat dijalin dengan lebih harmoni serta erat.
Apabila ibadah sembelihan dihadkan dibuat di pusat sembelihan berdaftar sahaja, ini memberi peluang pusat milik umat Islam ini mempertingkatkan kapasiti, kemampuan dan profesionalisme operasi penyembelihan mereka.
Masjid yang mendapat kebenaran melaksanakan penyembelihan pula sudah pasti terikat dengan pelbagai prosedur dan peraturan serta dipantau pihak berkuasa. Inilah masanya untuk ahli jawatankuasa masjid dan ahli kariah mempelajari kaedah serta pengurusan penyembelihan baik untuk terus diamalkan pada masa akan datang.
Sesungguhnya penguatkuasaan SOP sempena sambutan Aidiladha adalah selari dengan panduan hukum syarak dan bertepatan dengan lima prinsip maqasid (tujuan) syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Sekiranya SOP ini dipatuhi, ia bukan sahaja mampu membendung penularan COVID-19, bahkan lebih bermakna, ia mampu membentuk umat Islam lebih bertakwa, berdisiplin dan mengamalkan budaya hidup sihat serta lestari. -Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)