KLANG – Semua imam serta pegawai masjid perlu memastikan penceramah di masjid dan surau di dalam negeri Selangor ini mendapat tauliah yang sewajarnya.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pegawai-pegawai agama di masjid dan surau di negeri ini tidak sepatutnya bersekongkol mengajak orang ramai terbabit dengan kegiatan ekstremis atau liberalisme.
“Perkara ini telah selalu beta tegaskan sebelum ini namun masih terdapat imam-imam dan pihak nazir masjid yang masih ingkar dan tidak mematuhi titah beta hingga menyebabkan berlaku ajaran-ajaran dan ceramah-ceramah yang mengelirukan masyarakat Islam berlaku di masjid-masjid dan surau di negeri ini.
“Ceramah-ceramah perlu dipantau agar tidak menyeleweng dari ajaran Islam sebenar dan mengelirukan masyarakat Islam,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika majlis istiadat pengurniaan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor bagi sesi 2018 hingga 2020 di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Baginda turut bertitah agar imam dan pegawai agama Selangor sentiasa mempertahankan kesucian ajaran Islam.
Justeru, baginda mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai badan agama tertinggi di negeri itu supaya sentiasa tegas mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar titah baginda dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Oleh itu, beta mahu imam-imam dan pegawai-pegawai agama sentiasa memantau kegiatan ekstremis ini agar ianya tidak berlaku dan bertapak di negeri Selangor,” titahnya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)