GAZA – Kumpulan pejuang Palestin bersumpah untuk bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas terowong di selatan Semenanjung Gaza, semalam, yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh mati dan 14 yang lain cedera.
Pemimpin Pergerakan Jihad Islam, Daoud Shehab berkata, pihaknya akan mengambil langkah tindak balas kerana ia menjadi satu tanggungjawab.
“Kami mempunyai hak yang sah untuk bertindak balas,” katanya mengulas serangan rejim Zionis menggunakan roket ke atas terowong di Khan Younis, malam tadi.
Kementerian Kesihatan Palestin menjangkakan jumlah kematian meningkat kerana masih ada individu yang hilang di dalam runtuhan terowong.
Laporan menyebut, Israel melancarkan lima peluru berpandu ke arah terowong yang digali di Khan Younis di mana rejim Tel Aviv mendakwa menuju ke arah mereka.
Pihak perubatan di Gaza pula menyatakan sesetengah mangsa yang meninggal dunia kelihatan seperti terhidu gas beracun.
Lima daripada yang terbunuh adalah anggota sayap bersenjata Jihad Islam – Brigade al-Quds – dan dua lagi adalah anggota Brigade Izz Eddine al-Qassam, sayap bersenjata Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).
Hamas mengutuk serangan itu dan menuduhnya sebagai ‘jenayah terbaharu Zionis’.
“Menentang kependudukan dalam apa sahaja tindakan adalah hak rakyat Palestin,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Sejak 2008, rejim Israel telah melancarkan tiga serangan di Semenanjung Gaza.
Pada musim panas 2014 rejim Zionis melancarkan serangan yang mengorbankan lebih 2,200 rakyat Palestin, termasuk 500 kanan-kanak ketika pertempuran dengan Hamas selama 50 hari di Semenanjung Gaza.
Israel melakukan pengepungan ke atas Semenanjung Gaza sejak Jun 2007. Rejim itu juga mengawal ruang udara dan perairan di Gaza, selain dua daripada tiga pintu sempadan. Satu lagi pintu sempadan dikawal oleh rejim Mesir. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my