BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan menilai semula keberkesanan sistem pembelajaran dan pengajaran yang diterapkan di sekolah seluruh negara, susulan kes kematian pelajar M Vasanthapiriya baru-baru ini.
Pelajar tingkatan dua di sekolah di Nibong Tebal itu membunuh diri akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru di sekolahnya.
Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kes yang berlaku terhadap pelajar itu sebenarnya menuntut semua pihak membuka mata akan kepentingan nilai-nilai kerohanian dalam membina jati diri untuk berdepan apa jua situasi.
Beliau percaya sistem pembelajaran yang terlalu mengutamakan kecemerlangan akademik dan menggalakkan pelajar mengejar gred ‘A’ dalam semua mata pelajaran hanya membuatkan jiwa pelajar kosong.
Beliau menegaskan, perkara itu, secara langsung mengikis nilai murni serta pembinaan jati diri yang diamalkan sejak sekian lama.
“iGuru menyifatkan perlumbaan mencapai kecemerlangan akademik antara sebab yang menjadikan tumpuan kepada pembentukan sahsiah dan pembinaan jati diri pelajar kurang diberi perhatian oleh sebahagian para pendidik.
“Tambahan pula beban tugas guru mengundang tekanan psikologi dan mental guru untuk mendidik dan membangun kualiti para pelajar. Aspek spiritual amat penting dalam mengukuhkan kekuatan dalaman guru dan murid dalam menempuh apa sahaja cabaran kehidupan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Pada masa sama, Ustaz Azizee mengesyorkan kementerian menilai kembali keberkesanan peranan kaunselor di dalam membimbing dan mengajar guru dan pelajar di sekolah.
“iGuru berpendapat pelajar perlu mendapat bimbingan kaunseling yang secukupnya dari guru kaunseling supaya isu yang melibatkan tekanan psikologi dan mental pelajar dapat ditangani dengan sebaiknya.
“iGuru turut menggesa pihak KPM memberikan latihan dan kursus yang lebih mesra alaf 21 kepada kaunselor sekolah agar peranan dan tanggungjawab mereka terhadap para pelajar lebih berkesan.
“Kita harap satu peruntukan khas untuk menambah baik bilik kaunseling agar menjadi pusat yang mesra pelajar dan menjadi rujukan mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah pelajar,” katanya.
Minggu lalu, Vasanthapiriya menggantung diri dengan selendang kerana terlalu tertekan dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.
Dalam nota terakhirnya, Vasanthapiriya menegaskan berulang kali bahawa dia tidak melakukan perkara itu. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)