SEREMBAN – Kedatangan seorang pelancong wanita dari Vietnam ke Kuala Lumpur memberi makna kepadanya apabila dia mengambil keputusan memeluk Islam dan melafazkan kalimah syahadah, pada Jumaat.
Ha Tran Ngoc Trang, 30, melafazkan syahadah di hadapan Pengerusi Persatuan Pembangunan Masyarakat Malaysia, Mohd Aryan Kailash Arumugam sambil disaksikan seorang rakannya, Muhammad Adam Yee Abdullah.
Memilih nama Islam Nur Aafreen Ha Phu Lam, dia datang ke negara ini untuk bertemu rakan sebelum menyatakan hasrat untuk memeluk Islam yang sudah diidamkan setelah sekian lama.
Nur Aafreen berkata, niatnya untuk mendalami agama Islam sudah lama, bagaimanapun pada hari Jumaat tersebut hatinya benar-benar terbuka untuk melafazkan syahadah.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah belajar berpuasa dan sering melihat dan mempelajari cara orang Islam bersolat menerusi Youtube.
“Selain tertarik dengan solat lima waktu sehari dan berpuasa, saya juga tertarik dengan budaya Islam terutama cara mereka makan bersama keluarga dan membaca doa sebelum makan.
“Sebelum ini, jika di rumah kami hanya makan sendiri. Tidak pernah berkumpul makan bersama tetapi saya melihat dengan agama Islam, kita dapat merapatkan hubungan kekeluargaan juga di meja makan. Itu yang membuatkan hati saya terpikat,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, keluarganya tidak pernah menghalang niatnya untuk memeluk Islam memandangkan sebelum ini mereka tahu minatnya terhadap Islam sangat mendalam.
Sementara itu, Mohd Aryan berkata, dia bertemu Nur Aafreen enam hari lalu melalui kawannya yang pernah berurusan dengan Nur Aafreen sebelum ini.
Dalam tempoh itu, katanya, beliau banyak berbual mengenai Islam dan melakukan dakwah secara tidak langsung.
“Tidak sangka pula selepas enam hari berdakwah dengannya secara tidak formal, Aafreen memberitahu dia mahu memeluk Islam kerana jiwanya seakan terisi dengan ajaran agama ini.
“Saya kemudian merujuk kepada Pusat Dakwah. Mereka membenarkan saya untuk mengislamkan Aafreen dengan syarat dan saksi yang sah selain melengkapkan dokumen ditetapkan,” katanya yang turut berharap Aafreen akan menjadi seorang muslim yang baik dan sempurna amalannya sebaik sahaja pulang ke Vietnam kelak. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
Alhandulillah. Semoga Aafreen diberi kesenangan untuk mendalami ilmu Islam dan beramal dengannya.