Pelarian Syria: Masa depan yang tidak menentu

image

 

Z.HALABI tidak pernah berfikir suatu hari nanti beliau akan bangkit dari tidur sebagai pelarian di negara asing.

Impian untuk mempunyai pekerjaan yang baik dan membina kehidupan bersama isteri serta dua anak perempuannya di negara sendiri musnah apabila meletus perang saudara di Syria pada tahun 2011.

Keganasan memuncak dengan penglibatan pasukan tentera asing dan Daesh.

Halabi adalah antara 68 warga Syria dari Khemah Lembah Bekaa di Beirut, Lebanon yang tiba di Malaysia pada 28 Mei lepas.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan akan menerima seramai 3,000 pendatang Syria sebagai komitmen negara itu atas sebab perikemanusiaan.

Halabi, 32, graduan Institut Damascus bekerja sebagai Pengurus Kewangan sebuah hotel di Damascus selama tiga tahun.

Apabila perang meletus di Syria, kehidupan menjadi begitu sukar untuk Halabi.

Malah berjalan kaki ke tempat kerja juga boleh mengancam nyawanya. Sepanjang perjalanan itu beliau akan ditahan oleh tentera Syria dan militia Syiah.

Mereka akan menahan beliau dan menyoal: Siapa nama? Bagi saya kad pengenalan atau pasport.”

“Mereka juga akan periksa nama di komputer dan jika mereka dapati seseorang itu sering ke masjid, anda akan menjadi sasaran mereka kerana revolusi kedua bermula di masjid.

“Mereka akan bunuh awak sekiranya mereka dapat tahu anda sering ke masjid. Memandangkan semua orang di bandar sering ke masjid, kami semua hidup dalam keadaan tidak menentu dan ketakutan,” kata Halabi yang berasal dari bandar Daraya dengan majoriti pendudukya golongan ahli sunah.

SYRIA, SEBELUM DAN SELEPAS    

Halabi terus berkongsi pengalaman hidup di zon perang dan memberitahu penulis seluruh komuniti Dayara menderita akibat perang.

“Sebelum perang kami hidup aman damai. Semua barang murah. Sekarang semua orang jatuh miskin. Kami terpaksa melakukan tiga pekerjaan untuk kelangsungan hidup,” kata beliau.

Bayangkan hidup dalam ketakutan berpanjangan, berkira-kira apabila hendak keluar ke masjid atau ke pasar membeli barangan sama ada selamat atau tidak. Paling membimbangkan keselamatan anak yang tidak berdosa berjalan ke sekolah.

“Saya tidak risaukan tentang diri saya. Saya bimbangkan nasib isteri dan dua orang anak perempuan saya. Saya mahu keluarga saya mempunyai kehidupan yang baik dan melihat anak saya membesar menjadi doktor dan cendekiawan.

“Anak-anak di Syria masih pergi ke sekolah walaupun perang masih berterusan,” kata Halabi sementara matanya memandang jauh ke luar jendela.

SALING LINDUNG-MELINDUNGI   

Kehidupan Halabi dan penduduk Daraya yang lainnya semakin hari semakin terhimpit dengan serangan tentera Syria. Halabi dan keluarganya tinggal di tingkat empat sebuah pangsapuri.

Setiap kali jet pejuang menjatuhkan bom dan kereta kebal serta penembak hendap melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah bangunan serta pangsapurinya, Halabi terpaksa membawa isteri serta anak-anaknya ke tingkat bawah tanah sebagai langkah keselamatan.

Di samping itu, Halabi berkata beliau dan jirannya saling bantu-membantu untuk memastikan keselamatan mereka bersama.

“Ada kalanya anak-anak ini balik dari sekolah dan mereka bagi tahu macam-macam maklumat. Mereka beritahu supaya jangan berjalan di sesetengah tempat atau lorong kerana ada penembak hendap. Penembak itu akan menjadikan anda sasaran sekiranya nampak anda berjalan di lorong.

“Apa yang kami lakukan sekiranya kami masih perlu melalui mereka, kami akan cari bangkai kereta yang terbakar. Kami gunakan bangkai kereta itu sebagai perisai, melindungi kami dari hujanan peluru. Sekiranya anda ada dengan beberapa orang lain, lagi elok,” kata beliau.

PERJALANAN JAUH KE LUBNAN  

Bimbang akan keselamatan keluarganya, ibu bapa Halabi meminta Halabi membawa keluarganya keluar dari Syria dan pergi ke Lubnan.

Tidak mahu mengecewakan hati ayahnya, Halabi membawa isteri serta anak-anaknya ke Lubnan yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Syria.

“Biasanya perjalanan ini hanya memakan masa 45 minit tetapi selepas perang bermula, ia mengambil masa lima jam kerana ada enam pusat pemeriksaan di sepanjang jalan ke sempadan Lubnan.”

Pusat pemeriksaan pertama dikawal Tentera Syria.

“Mereka tanya apa yang saya ada? Wang? Makanan? Barang Kemas? Mereka akan periksa badan dan sekiranya ada bayi, lampin bayi pun mereka buka untuk tengok kalau ada sorokkan wang di situ. “Saya beri wang di pusat pemeriksaan pertama dan di pusat pemeriksaan kedua saya beri mereka gelang emas isteri saya. Di pusat pemeriksaan ketiga, askar menghubungi pusat pemeriksaan awal dan bertanya sama ada saya sudah buat bayaran. Sebaik sahaja mereka mendapat pengesahan, mereka benarkan saya memandu terus.

“Selagi mereka diberi bayaran, selamatlah tetapi jika wang yang dibayar tidak mencukupi, mereka akan bunuh. Sekiranya askar itu baik hati, dia akan beritahu supaya berpatah balik. Bagaimanapun, biasanya mereka akan terus tembak sahaja,” dakwa Halabi.

Menurut Halabi, pihak militia dan Tentera Syria akan sentiasa berada di pusat pemeriksaan.

Sesiapa yang mahu melepasi mereka perlu membayar antara AS$200 hingga AS$300. Bayaran boleh mencecah setinggi AS$600 (25,000 Lira) pada waktu petang.

“Bagaimanapun, bukan semua askar Syria Syiah. Jika bernasib baik, jumpa askar golongan Sunnah dan mereka akan benarkan kita lalu,” tambahnya.

LUBNAN BUKAN TEMPATNYA  

Pada mulanya Halabi menyangka sebaik sahaja mereka menyeberang masuk ke Lubnan, penderitaan beliau dan keluarganya akan berakhir sekurang-sekurangnya sehingga perang berakhir.

Bagaimanapun, sangkaannya silap.

“Tidak ada masa depan di Lubnan. Tak ada pekerjaan atau makanan yang bagus. Orang Lubnan benci kami sebab Tentera Syria pada suatu ketika menduduki Lubnan selama 25 tahun. Tentera Syria merampas rumah mereka dan membunuh mereka,”  Halabi memberitahu Bernama.

“Saya faham tentang perasaan mereka dan saya tak kisah mereka membenci kami. Jadi saya biarkan sahaja perkara itu. Saudara lelaki dan perempuan saya berjaya menyeberangi laut untuk mencari perlindungan ke Eropah,” kata Halabi.

HATI MASIH DI SYRIA    

Meskipun sudah berada di Malaysia, jiwa dan raga Halabi masih di Syria kerana ibu dan ayahnya masih di Daraya.

Halabi teringat kata-kata ayahnya, “Saya akan mati di bandar ini… Jangan halang saya. Tapi engkau dan adik-adik mesti keluar dari bandar ini dan pergi ke Lubnan.”

Ketika beliau berkongsi memori ibu dan ayahnya, Halabi mengeluarkan telefon android dari poket seluar untuk menunjukkan kepada penulis video ibunya.

Beliau memainkan video dan kelihatan ibunya memakai jubah serta hijab berwarna biru, sedang ketawa sambil menunjukkan sepiring epal yang baru dipetik di belakang rumah.

“Lihat betapa cantik dan gembiranya ibu saya. Saya rindukan senyuman dan ketawa ibu saya. Saya sayang ibu dan ayah saya. Tengoklah betapa cantiknya rumah ibu bapa saya,” kata Halabi, suaranya bergetar, begitu sedih beliau mengenangkan ibu ayahnya.

Penulis segera menukar topik perbualan kepada perasaannya kini berada di Malaysia.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/rencana/pelarian-syria-masa-depan-yang-tidak-menentu-1.541199

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts