WANITA beragama Islam dalam sektor awam di daerah Quebec di Kanada bakal berdepan kekangan terhadap kebebasan beragama. Kerajaan tempatan pada 28 Mac lalu telah memperkenal undang-undang bagi mengenakan larangan terhadap para pekerja daripada memakai apa-apa simbol agama termasuk tudung atau selendang menutup kepala.
Di Malaysia, wanita berhijab yang bekerja turut berdepan situasi yang menafikan hak mengamalkan dan menunaikan tuntutan agama mereka untuk menutup aurat. Ia disebabkan larangan berhijab oleh sesetengah majikan atau disebabkan polisi syarikat.
Awal tahun 2018, International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq) mendedahkan hasil pertemuan dengan tiga orang wanita berhijab yang bekerja di sebuah hotel lima bintang di ibu kota betapa mereka berdepan dengan larangan sedemikian.
Selain itu, sebuah firma kajian bebas, Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) turut mendapati bahawa pemohon dalam kalangan wanita Melayu berhijab menerima kadar panggilan temu duga lebih rendah berbanding yang tidak berhijab walaupun setara kelayakan mereka.
Namun, masih ada sinar buat wanita berhijab di negara kita yang berdepan dengan diskriminasi serta sentimen Islamofobia di tempat kerja. Menurut perkembangan terkini, Wafiq menerima maklum balas bahawa terdapat pihak majikan khususnya dalam industri perhotelan yang bersetuju membenarkan pemakaian hijab.
Malah, pihak hotel bersetuju mengiktiraf pemakaian tudung sebagai sebahagian daripada pakaian seragam bagi pekerja wanita beragama Islam. Semestinya, perkembangan positif ini merupakan khabar gembira buat hampir 100 pekerja wanita beragama Islam yang turut berkhidmat di hotel tersebut.
Secara tidak langsung, pemakaian polisi ini membolehkan pemohon pekerjaan yang berhijab berpeluang menyertai organisasi tersebut dengan hati terbuka disamping membuka ruang kepada para penuntut di institusi pengajian tinggi yang berhasrat menjalani latihan industri atau on the job training.
Hakikatnya, larangan untuk berhijab di tempat kerja oleh majikan merupakan diskriminasi dan penafian hak beragama bagi wanita Islam walaupun mereka memiliki minat, kelayakan dan pengalaman untuk bidang atau pekerjaan yang diceburi.
Pun demikian, perkembangan itu perlu dilestarikan dari sudut perundangan. Bahkan, ia merupakan satu keperluan mendesak di pihak kerajaan untuk menangani kedegilan sesetengah majikan yang berselindung di sebalik polisi antarabangsa yang dipengaruhi kebencian terhadap Islam.
Undang-undang perlu memperuntukkan mengenai tanggungjawab serta peranan majikan bagi memelihara dan menghormati hak beragama pekerja-pekerja mereka. Sayangnya, peruntukan bagi maksud sedemikian tidak terdapat dalam akta sedia ada seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Kita boleh mengambil contoh undang-undang di New Zealand yang mempunyai peruntukan khas bagi melindungi hak pekerja khususnya dalam perihal beragama. Malah ia meletakkan tanggungjawab pada majikan untuk menampung atau accommodate amalan atau suruhan sesuatu agama.
Di bawah Akta Hak Asasi Manusia 1993, seksyen 28(3) menyatakan bahawa sekiranya sesuatu kepercayaan agama mahupun etika menuntut penganutnya mematuhi apa-apa amalan berhubung kepercayaan tersebut, maka adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk menampung amalan tersebut dengan melakukan perubahan atau pelarasan terhadap kegiatan majikan selagi ia munasabah.
Ini bermakna, majikan mempunyai tanggungjawab untuk membantu mewujudkan polisi, suasana dan kemudahan tempat kerja yang kondusif untuk apa-apa amalan berhubung kepercayaan agama termasuk menutup aurat dan berhijab.
Oleh itu, kerajaan disyorkan untuk mengadaptasi peruntukan ini khas bagi melestarikan penyelesaian kepada isu penafian hak beragama yang dialami wanita berhijab. Perkara ini boleh direalisasi dengan meminda akta-akta berkenaan.
Pada masa sama, perkembangan positif dalam memelihara hak pekerja wanita berhijab mampu menepis prejudis terhadap wanita berhijab secara umumnya. Akhbar Daily Mail pada 26 Mac lalu memetik kenyataan seorang aktivis feminisme tempatan yang mengkritik Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern ketika rakyat negara itu serta masyarakat sedunia mengutuk keganasan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch.
Ardern dan warganegara wanita bukan Islam memilih untuk mengenakan tudung atau selendang menutup kepala sebagai tanda solidariti serta menzahirkan rasa empati berikutan tragedi yang menimpa umat Islam di sana selaku kelompok agama minoriti.
Tidak ketinggalan, ahli Dewan Undangan Negeri bukan beragama Islam di Selangor turut memakai tudung semasa sesi persidangan berlangsung. Namun, aktivis tersebut mempersoalkan pilihan Ardern kerana beliau mendakwa sesetengah wanita Islam yang enggan memakai tudung atau menutup aurat tidak menikmati suasana yang mengukuhkan kedudukan mereka. Malah, beliau beranggapan bahawa perbuatan Ardern bakal menguatkan tekanan terhadap mereka untuk menutup aurat.
Sedangkan suasana negatif menimpa wanita berhijab di negara luar walaupun negara itu dianggap sebagai jaguh hak asasi manusia dan lebih liberal. Contohnya, sentimen Islamofobia di Amerika Syarikat turut mensasarkan pemimpin wanita beragama Islam yang berhijab.
Ilhan Omar, yang merupakan antara wanita beragama Islam terawal yang menjadi ahli Dewan Perwakilan, telah dikecam oleh pengacara Fox News pada 9 Mac lalu apabila dituduh tidak setia kepada perlembagaan negara hanya kerana beliau memakai hijab.
Nasib sama menimpa seorang pemimpin wanita berhijab Movita Johnson-Harrell sejurus sebelum beliau mengangkat sumpah selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Pennsylvania pada 25 Mac lalu.
Ia berikutan bacaan doa oleh seorang pemimpin yang didakwa tidak sensitif dan berniat menyinggung perasaan keagamaan beliau yang juga merupakan ahli dewan wanita beragama Islam pertama di negeri itu.
Ini bermakna walaupun wanita berhijab mendapat tempat dalam arena politik tanah air, mereka tetap berdepan dengan tohmahan dek sikap Islamofobia yang disebar luas pihak yang menyimpan kebencian mendalam terhadap Islam.
Ironinya, wanita Islam dalam sektor pekerjaan di negara kita masih berdepan dengan larangan berhijab sedangkan Islam adalah agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan beragama dijamin oleh Perkara 11(1).
Dengan demikian, menjadi kewajipan pihak kerajaan untuk memelihara kemuliaan wanita yang mahu memenuhi tuntutan agama disamping berkhidmat untuk negara. Semoga Malaysia menjadi negara Islam contoh yang mampu menangkis Islamofobia bukan saja dalam negara malah seantero dunia.
Danial Ariff Shaari
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)