PULAU PINANG – Teruja untuk berpuasa seperti rakan-rakan Islam yang lain setiap kali Ramadan mendorong seorang lelaki yang pernah diserang angin ahmar melafazkan dua kalimah syahadah.
Ong Chye Lib, 59, yang kini tinggal berseorangan di bilik sewa memberitahu, dia telah sekian lama berminat menjalani ibadah puasa apabila bertemu rakan-rakan Islam.
Dari situ, Chye Lib mendapat perkhabaran gembira mengenai kebaikan berpuasa selain segala dosa diampunkan manakala pahala pula dijanjikan berlipat kali ganda.
“Apabila melihat rakan-rakan Islam berpuasa dengan kesabaran mereka, saya memang tertarik. Tak lama lagi tiba Ramadan, saya sudah bersedia untuk berpuasa. Tarawih bersama dan berbuka puasa beramai-ramai,” katanya yang tinggal di sebuah bilik sewa di Lorong Macalister di sini baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai perasaannya selepas mengucapkan syahadah, Chye Lib memberitahu, tiba-tiba datang perasaan tenang dan tenteram.
“Perasaan ini tidak pernah ada selama ini. Saya rasakan segala masalah kehidupan yang dihadapi selama ini seperti sudah selesai dan lega,” akuinya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai kehidupannya, Chye Lib berkata, banyak pengalaman dilalui apabila diserang angin ahmar sejak lima tahun lalu.
“Saya dihalau keluar rumah, berpisah dengan isteri, hilang pekerjaan, terpaksa menagih simpati untuk mendapatkan duit untuk makan dan banyak lagi.
“Tapi rakan-rakan Islam menyakinkan Islam itu bersaudara dan akan saling bantu-membantu. Saya kini rasa lega,” katanya yang pernah bekerja sebagai kerani di syarikat pembinaan.
Chye Lib yang mendapat bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat juga meminta supaya kisah hidupnya tidak dipanjangkan kerana apa yang berlaku baginya satu pengajaran untuknya.
Sementara itu, seorang lagi lelaki berbangsa Cina, Toh Choon Siak, 39, turut melafazkan dua kalimah syahadah dan memberitahu, dia memang tertarik dengan cara kehidupan rakan-rakan Islam.
Menurutnya yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit, rakan-rakan Islam yang ditemui sentiasa menghormatinya selain membantu apabila di berada dalam kesusahan.
“Apabila saya peluk Islam hari ini, baru saya tahu rupanya ramai kalangan mualaf di sini. Mereka datang meraikan dan mengalu-alukan saya yang peluk Islam. Selama ini saya ingat kalangan mualaf hanya sedikit.
“Kini saya dapat ramai rakan-rakan baharu. Malah saya turut diberitahu agar terus bergaul dengan rakan-rakan dari agama lain,” katanya yang masih belum mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama bapanya yang berusia 60-an di Ayer Itam.
Choon Siak melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di sebuah restoran di Komtar.
IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu dan membela golongan mualaf di negeri ini selain beberapa negeri lain.
Sementara itu, Chye Lib pula melafazkan syahadah yang dipimpin oleh bekas Editor Berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin Mansor. – MalaysiaGazette
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM