Peluk Islam untuk tinggalkan gaya hidup LGBT

 

PULAU PINANG – Terjebak dengan hubungan sejenis sejak usia 10 tahun, Abdul Maliq Zaidi Wang Jiryun Abdullah, 33, beranggapan dia tidak mungkin akan dapat kembali ke pangkal jalan.

Apatah lagi gaya hidup songsangnya itu termasuk sering bertukar pasangan antara lelaki dan perempuan semakin menjadi-jadi ketika menginjak dewasa dan sewaktu menuntut di sebuah kolej komuniti di negeri ini.

Namun benarlah hidayah Allah SWT tidak mengenal sesiapa dan ketika usianya 22 tahun iaitu sewaktu masih mengamalkan gaya hidup bebas dan songsang, hatinya disuntik untuk mendalami mengenai Islam melalui pembacaan buku-buku mengenai agama suci itu.

Menceritakan lebih lanjut, Abdul Maliq Zaidi berkata, ketika itu, dia merupakan seorang ateis atau ‘free thinker’ selepas meninggalkan agama Budha iaitu agama yang dianutinya sejak dilahirkan.

Ujarnya, pembacaannya ketika itu adalah lebih kepada buku-buku berunsurkan jihad dalam Islam khususnya melibatkan perjuangan masyarakat Islam di wilayah bergolak seperti di sempadan Uzbekistan dan China.

Selain itu, katanya, dia juga banyak membaca buku-buku mengenai perubatan dalam Islam termasuk berkaitan amalan penyembuhan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran iaitu rukyah.

“Daripada pembacaan buku-buku berkenaan Islam itu juga timbul keyakinan dalam diri saya yang mana saya boleh berubah dan meninggalkan gaya hidup songsang dengan menjalani kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim.

 

 

“Dengan tekad itu, saya akhirnya melafazkan syahadah dengan bersaksikan pegawai agama di Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (Ipsi) di sini pada usia 23 tahun,” katanya.

Dia ditemui Utusan Malaysia ketika menyertai majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) di Masjid Kapitan Keling, di sini semalam.

Menurut Abdul Maliq Zaidi seperti kebanyakan mualaf lain, keputusannya memeluk agama Islam itu tidak mudah diterima termasuk oleh ibu bapanya yang menentang keras.

Malah, katanya, hubungan dengan ibunya serta adik perempuannya yang beragama Kristian sehingga kini juga tidak begitu harmoni.

Bagaimanapun, tambahnya, dia bersyukur dan bertuah kerana bapanya yang merupakan penganut Budha sedikit berlapang dada dengan keputusannya itu.

“Selain itu, saya juga bersyukur kerana ibu saudara saya yang merupakan golongan ateis masih boleh menerima saya sebagai seorang Islam dan setiap kali pulang ke kampung halaman saya di Air Itam di sini, saya akan tinggal bersamanya,” katanya.

Ditanya pengalamannya berpuasa, Abdul Maliq Zaidi berkata, selepas hampir 10 tahun bergelar Muslim, dia semakin gembira dan teruja untuk berpuasa seterusnya bersama-sama berbuka dengan umat Islam lain di masjid.

Katanya, dia yang kini bekerja dan menetap di Lembah Klang juga akan memastikan kerap pulang ke negeri ini dan mengunjungi masjid di sini yang disifatkannya sangat istimewa dan berbeza berbanding di tempat lain.

“Di sini kepelbagaian kaum yang menganut Islam lebih terserlah dan dirasai, mungkin kerana itu saya tidak berasa kekok atau jangkal untuk beribadat di masjid bersama-sama mereka,” katanya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana sehingga kini iaitu selepas hampir 10 tahun memeluk Islam, dia masih mendapat bimbingan di Pro-Tajdid Al-Qayyim dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Sains Malaysia (USM). – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts