Pematuhan SOP lemah, Kedah hadkan aktiviti imarah masjid

 

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bermula hari ini, mengambil tindakan mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid, susulan pematuhan prosuder operasi standard (SOP) yang lemah di surau dan masjid di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Yusri Md Daud, berkata program tadarus al-Quran hendaklah dielakkan ketika wabak sedang meningkat namun sekiranya dilaksanakan hendaklah mematuhi SOP yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

Katanya, solat sunat tarawih atau qiyam pula dibenarkan dan dihadkan sehingga jam 10.45 malam sahaja.

“Penganjuran program qiamullail di masjid dan surau dibenarkan bermula jam 4.30 pagi sehingga masuk waktu solat subuh.

“Jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di masjid dan surau hanya dibenarkan dalam bentuk makanan yang siap dibungkus sahaja serta diedarkan oleh petugas dan mestilah melakukan penjarakan fizikal.Hidangan dan bufet tidak dibenarkan sama sekali,”katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mac lalu, dalam kenyataan jabatan itu, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan dibenarkan termasuk program tadarus dan jamuan berbentuk bufet dan dihidangkan di ruangan khas untuk majlis berbuka, moreh dan sahur dengan SOP yang ketat.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata ketika ini daerah Kota Setar merekod peningkatan kes membabitkan kluster berkaitan keagamaan selain kluster lain yang masih aktif.

Katanya, siasatan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati kluster keagamaan ini tercetus pada masjlis tadarus kerana peserta tidak memakai pelitup muka dan duduk dekat-dekat.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata pihak berkuasa berhak menentukan larangan yang lebih ketat terhadap mana-mana masjid dan surau di kawasan zon merah dari semasa ke semasa.

Katanya, pihak masjid hendaklah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di luar dan dalam masjid supaya jemaah tidak berkumpul selepas beribadat dan tidak bersalaman, berpelukan dan bersentuhan antara sesama jemaah yang hadir.

“Mana-mana masjid dan surau yang melanggar dan tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta merta,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts