Pembaharuan struktur MKI penting kepada agama Islam

SHAH ALAM – Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang ditubuhkan sejak 1968 mempunyai peranan penting sebagai penyelaras kepada isu membabitkan agama Islam di negara ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi, Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata, atas dasar itu pemilihan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 adalah satu tindakan tepat.

Menurutnya, ia kerana agama Islam di negara ini terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-Raja Pemerintah dan bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah.

“Perakuan Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam telah mengeluarkan dan menyembahkan kepada Duli Tuanku tentang pentingnya untuk melakukan pembaharuan struktur institusi agama Islam di negara kita iaitu seorang Raja Pemerintah untuk mempengerusikan MKI ini.

“Perakuan itu juga telah dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan pihak kerajaan dan telah mencapai persefahaman serta kata sepakat. Jadi, ini adalah keputusan Majlis Raja-Raja yang bersejarah dalam negara kita,” katanya dalam program Agenda Awani bertajuk Pembaharuan Institusi Islam Negara pada Isnin.

Pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja pada 1968 sememangnya telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj telah diperkenankan sebagai Pengerusi MKI.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 baru-baru ini telah membuat ketetapan bahawa salah seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab pengerusi MKI selama dua tahun secara bergilir-gilir sementara Perdana Menteri dilantik sebagai timbalan pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford turut menjelaskan bahawa pembaharuan itu juga sebagai langkah penting kerana tanggungjawab besar MKI dalam isu membabitkan agama Islam selain mengelakkan Islam dipolitikkan di negara ini.


“Bukan bermakna Islam itu tidak ada kaitan dengan politik, cuma kita tidak mahu islam itu dipartipolitikkan. Ia kerana tiap-tiap parti politik yang ada di Malaysia ada pandangan tersendiri tentang apa polisi yang seharusnya dibuat dan dalam kaca mata mereka ada polisi yang lebih Islamik dan sebagainya.

“Jadi, di sinilah penting peranan Raja-Raja supaya unsur parti politik itu tidak masuk dalam bab pengurusan agama Islam kita. Sebab kita harus ingat agama Islam ini agama untuk semua dan bukan golongan tertentu sahaja.

“Ini adalah saranan di sebalik mengapa ada pembaharuan yang paling penting ini,” jelasnya.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts