Usaha pertama pembukaan Konstantinopal sebenarnya telah dilakukan oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan di zaman Umayyah dengan diketuai oleh Yazid bin Muawiyah sebagai panglimanya. Katibah tersebut turut disertai oleh Abu Ayub Al-Ansori yang akhirnya syahid di bumi Konstantinopal. Usaha tersebut berterusan sehinggalah Sultan Muhammad II Al-Fateh dan tenteranya berjaya membenarkan hadith Rasulullah s.a.w. :
“Kota Konstantinopal akan dibuka. Sesungguhnya pemerintah yang terbaik adalah pemerintahnya, dan tentera yang terbaik adalah tenteranya.” [ HR Ahmad ]
Sultan Al-Fateh merupakan khalifah ketujuh dalam pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, beliau menaiki tahta ketika berumur 22 tahun. Musuh beliau ketika itu merupakan kerajaan Byzantine yang telah membina dan menjadikan Kota Konstantinopal sebagai pusat pemerintahan. Kota ini merupakan kota paling besar dan paling penting di dunia ketika itu menurut Dr Akram Dia’ Al-Umari dalam kitabnya Al-Mujtama’ Al-Madani, Al-Jihad Did Al-Musyrikin.
Sultan Al-Fateh telah menguasai enam bahasa dan pelbagai ilmu sejak kecil. Beliau juga telah menghafal Al-Quran pada umur lapan tahun dan mempunyai murabbi tersendiri yang telah membentuk peribadinya sejak kecil. Antara murabbinya yang mashyur iaitu Syeikh Agha Shamsuddin yang telah memberi kesan mendalam dalam pembentukan peribadinya dari dua aspek iaitu pertama dengan meningkatnya gerakan jihad oleh Empayar Uthmani dan kedua beliau sentiasa dibayangkan semenjak kecil sebagai orang yang dimaksudkan dalam hadith nabi mengenai pembukaan konstantinopal. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]
Serangan terhadap Kota Kontantinopal bermula pada 26 Rabiul Awal 857 H bersamaan 6 April 1453 mengikut kitab Salatin Aali Uthman. Sultan Al-Fateh telah mengumpulkan angkatan tentera yang berjumlah hampir 250,000 anggota. Beliau menyuntik semangat mereka supaya berjihad dengan memohon kemenangan atau mati syahid. Juga diceritakan dalam Al-Futuh Al-Islamiyah para ulama turut serta dalam barisan tersebut sebagai tentera dan pejuang, keadaan ini menaikkan semangat tentera. Sultan Al-Fateh juga telah meminta seorang jurutera Hungary bernama Urban, untuk membuat sebuah meriam gergasi diberi nama Meriam Sultan bagi memecah tembok Konstantinopal yang kebal itu. Berat meriam ini dikatakan mencecah beratus ribu tan dan memerlukan beberapa ratus ekor lembu yang gagah untuk mengalihkannya.
Peperangan dengan kerajaan Byzantine merupakan pertembungan yang sengit, kerana mereka mempunyai kubu yang terhebat di dunia pada waktu itu. Tentera Islam hampir-hampir berputus asa dan ingin berpatah balik selepas tewas dalam percubaan awalnya. Namun Sultan Al-Fateh terus bertekad membenarkan hadith nabi setelah mendapat nasihat dan motivasi dari Syeikh Agha Shamsuddin dan Maula Al-Kuurani. Kata mereka : “Perang perlu diteruskan. Dengan perjuangan yang sebaiknya, kemenangan akan menjadi milik kita.” [ Muhammad Al-Fatih, Salim Al-Rashidi ]
Bagi mengalahkan kerajaan Byzantine yang angkuh itu, Sultan Al-Fateh telah merangka beberapa strategi di luar jangkaan manusia waktu itu. Peperangan Konstantinopal merupakan perang darat dan laut, tentera Al-Fateh telah menyerang melalui selat Bosphorus namun usaha itu gagal apabila Byzantine telah membuat persiapan awal dengan meletakkan rantai besi gergasi di selat tersebut, yang membuatkan semua kapal yang melaluinya pecah dan hancur. Beliau telah mengarahkan tenteranya memindahkan kapal perang dari pelabuhan Besiktas ke Selat Golden Horn melalui jalan darat yang berbukit bukau sejauh tiga batu. Kapal-kapal tersebut ditarik menggunakan batang kayu yang disapukan minyak dan lemak sebagai landasan bagi memudahkan pergerakan. Dalam tempoh satu malam tentera Al-Fateh telah berjaya menarik sebanyak 70 buah kapal dan menurunkannya di Selat Golden Horn tanpa disedari oleh musuh, beliau sendiri menyelaras keseluruhan operasi ini sepanjang malam. [ Muhammad Al-Fatih, Abdul Salaam Fahmi ]
Kejutan kedua yang dilakukan tentera Al-Fateh adalah membina menara kayu setinggi tiga tingkat melepasi ketinggian tembok kota, setiap tingkat dipenuhi tentera dan atasnya diletakkan pemanah. Menara ini berjaya menggerunkan Byznatine kerana menyebabkan sebahagian tentera Al-Fateh berjaya melepasi tembok besar kota tersebut, tetapi akibat lontaran api yang bertubi-tubi akhirnya menara itu tumbang. Namun tentera Al-Fateh tidak berputus asa, Al-Fateh sendiri berkata : “Esok kita akan bina empat buah lagi.” [ Muhammad Al-Fatih, Salim Al-Rashidi ]
Pada awal pagi Selasa 20 Jamadil Awal 857 H bersamaan 29 Mei 1453 serangan besar-besaran dan terakhir dilancarkan oleh Al-Fateh. Maharaja Constantine sendiri turun ke medan perang dalam menghadapi gelombang akhir ini. Setelah tentera Uthmani berjaya menggempur tembok kota dan menawan beberapa menara, Constantine merasakan tiada faedah lagi untuk melawan, akhirnya beliau turut terkorban di medan perang tersebut. Penyebaran berita kematian maharaja telah melemahkan tentera Byzantine keseluruhannya. Pada hari yang sama iaitu 29 Mei 1453 selepas Zohor, Sultan Al-Fateh berjaya menjejakkan kaki ke tengah kota Konstantinopal dikelilingi oleh tentera dan para panglimanya sambil berteriak : “Segalanya kehendak Allah.” Al-Fateh memandang mereka dan berkata : “Kamu kini adalah penakluk Konstantinopal yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]
Sultan Al-Fateh berangkat ke Gereja Hagia Sophia, tempat berkumpulnya semua rakyat Byzantine dan para rahib yang berlindung. Apabila Al-Fateh menghampiri pintu gereja, penganut Kristian di dalamnya merasa ketakutan. Beliau meminta paderi yang membuka pintu tersebut mententeramkan semua orang dan meminta mereka pulang ke rumah masing-masing. Sultan Al-Fateh memberi kebenaran kepada penganut Kristian untuk mengamalkan semua amalan agama mereka, dan memilih ketua agama yang berhak menjatuhkan hukuman yang bersangkutan dengan isu agama mereka. Walau bagaimanapun, beliau tetap mengenakan bayaran jizyah kepada mereka semua. [ Al-Futuh Al-Islamiyah Abar Al-Usur ]
Begitulah keadilan dan rahmat yang diperolehi seluruh manusia tidak kira muslim atau bukan apabila Islam memegang tampuk pemerintahan. Hanya dengan sistem yang diturunkan ilahi dan pemimpin yang ditanamkan iman sahaja mampu membawa kesejahteraan kepada dunia ini sepanjang sejarah tamadun manusia.
www.indahnyaislam.my