1. DALAM Islam, pemimpin kaum muslimin hendaklah dilantik dikalangan muslim juga. Ini adalah kerana, pengurusan pentadbiran dalam Islam, bukan sekadar mentadbir negara tetapi memelihara Islam itu sendiri. Dengan sebab itu al-Imam al-Mawardi menyebutkan:
الإمامة موضوعةٌ لِخلافة النُّبوة في حراسة الدِّين وسياسة الدُّنيا
“Kepimpinan itu adalah kesinambungan peninggalan kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dunia” (al-Ahmad al-Sultaniyyah, 5)
2. Bahkan Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa kepimpinan kaum muslimin seharusnya diberikan kepada muslim. Tidak seharusnya muslim melantik non-muslim menjadi peminpin. Firman Allah:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“Dan Allah tidak menjadikan jalan buat orang-orang kafir (untuk menjadi pemimpin) ke atas orang-orang mukmin.” (Surah al-Nisa: 141)
Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn al-Arabi menjelaskan bahawa muslim yang melantik non-muslim sebagai pemimpin mereka dilihat sebagai telah melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak. (al-Qurtubi, Jami li Ahkam al-Quran)
3. Malah Allah sentiasa mengingatkan orang beriman akan risiko yang dihadapi oleh kaum muslimin sekiranya pemimpin mereka dilantik dikalangan kafir. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (pemimpin). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Surah Ali Imran: 118)
4. Atas dasar itu para fuqaha sependapat bahawa pemimpin kaum muslimin itu hendaklah dilantik dikalangan orang muslim sendiri. Kata Qadhi Iyad:
أجمع العلماءُ على أنَّ الإمامة لا تنعقد لكافر
“Para ulama telah bersepakat bahawa dalam perihal kepimpinan, orang kafir itu tidak boleh dilantik sebagai pemimpin” (Shrah Sahih Muslim)
5. al-Imam al-Baihaqi dan Ibn Abi Hatim pernah menukilkan kisah bagaimana Saidina Umar memarahi Abu Musa al-Ash’ari kerana melantik penulis (atau setiausaha) beliau dari kalangan orang Kristian. (al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra, no. 20196)
6. al-Imam Ibn al-Qayyim juga menyebutkan pandangan yang sama. Dalam bab urus tadbir tanah (al-Kharraj), beliau menegaskan tidak sepatutnya kita melantik non Muslim untuk menguruskan bidang kerja yang boleh dilakukan oleh Muslim. (Ibn al-Qayyim, Ahkam Ahl al-Zimmah, 448).
7. Benar, dalam beberapa perkara, Rasulullah ﷺ memberikan kelonggaran dalam memberikan ruang kerjasama pengurusan dengan non Muslim. Rasulullah ﷺ pernah memanfaatkan kepakaran seorang pengembara dari Bani al-Dil yang mahir dalam selok belok perjalanan. Nabi SAW juga pernah menggunakan perkhidmatan pertanian yang ditawarkan oleh yahudi Bani Khaybar ketika di Madinah.
8. Namun dalam urusan lantikan pemimpin, seeloknya Muslimlah yang menjadi pemimpin buat Muslim. Sekiranya non Muslim dilantik bekerjasama dengan Muslim, pastikan Islam dominan dan si non Muslim tadi membantu ke arah merealisasikan matlamat kepimpinan Islam.
Moga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)