BANGI – Perjanjian normalisasi hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara pengganas Israel bukan langkah mengejutkan bagi sesiapa yang sentiasa mengikuti perkembangan dasar-dasar luar UAE.
Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sebelum ini UAE memang terkenal dengan dasarnya yang tidak menyokong mana-mana gerakan Islam yang terbabit dalam Arab Spring dan bagaimana negara itu memberikan keistimewaan kepada tokoh anti-Hamas.
“Perkembangan yang membimbangkan adalah pendirian negara-negara Arab terhadap Israel selepas ini. Mosad dilihat sentiasa menghantar wakil dalam melakukan rundingan berterusan dengan beberapa negara Arab seperti Qatar, Jordan dan Saudi.
“Kebimbangan beberapa negara di rantau Arab terhadap ancaman perluasan Iran boleh digunakan sebaiknya oleh Israel untuk menawarkan perlindungan kepada negara-negara itu.
“Kecenderungan sebahagian negara Arab seperti Mesir yang memuji langkah damai UAE-Israel itu kemungkinan dikongsi bersama oleh beberapa negara Arab yang lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang diharapkan ketika ini supaya ada suara yang kuat dari pemimpin dunia Islam untuk menyedarkan semua pemimpin negara Arab mengenai agenda besar Israel.
“Langkah yang praktikal dan strategik juga amat diperlukan agar rantau Arab keluar dari cengkaman pengaruh Israel,” katanya.
Sebelum ini, kenyataan bersama Amerika Syarikat (AS), UAE dan Israel menyebut kejayaan hubungan “diplomatik bersejarah ini akan mengukuhkan lagi keamanan di rantau Timur Tengah dan menjadi bukti kepada diplomasi serta visi berani ketiga-tiga pemimpin.”
Tiga pemimpin itu merujuk kepada Donald Trump, Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed al-Nahyan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurut kenyataan itu, “Israel akan menangguhkan pengumuman kedaulatan yang digariskan dalam Visi Presiden untuk Perdamaian dan menumpukan usahanya kepada meluaskan hubungan dengan negara lain di dunia Arab.”
Pengumuman itu menjadikan UAE negara Teluk Arab pertama serta yang ketiga, selepas Mesir dan Jordan, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Terbaharu, rejim pengganas Israel mendakwa, Bahrain dan Oman bakal menjadi negara Teluk berikutnya yang akan mengikut jejak langkah UAE dalam menormalisasi hubungan dengan Tel Aviv.
Menteri Perisikan Israel, Eli Cohen mendakwa, pihaknya akan mengikat lebih banyak perjanjian dengan negara Teluk dan negara Islam lain di Afrika.
“Setelah perjanjian ini (dengan UAE), akan ada perjanjian tambahan bersama negara Teluk dan negara muslim lain di Afrika.
“Saya fikir bahawa Bahrain dan Oman pasti ada dalam agenda ini. Selain itu, kemungkinan pada tahun akan datang akan ada perjanjian damai dengan negara-negara di Afrika, antaranya Sudan,” dakwanya.- Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)