RIYADH: Pemimpin Islam dan Arab mengutuk tindakan tidak bertamadun Israel di Gaza tetapi enggan meluluskan sebarang tindakan ekonomi dan politik susulan serangannya ke atas Hamas.
Hasil Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh menonjolkan perpecahan serantau dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain.
Deklarasi yang dimuktamadkan semalam menolak dakwaan Israel yang terpaksa bertindak kejam kerana mempertahan diri dan menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima resolusi yang tegas dan mengikat untuk menghentikan pencerobohan Israel.
Mereka juga menggesa penjualan senjata kepada Israel dihentikan, dan menolak sebarang penyelesaian politik masa depan terhadap konflik yang akan memisahkan Gaza daripada Tebing Barat yang diduduki Israel.
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman melalui sidang kemuncak itu menegaskan beliau berpegang kepada prinsip pihak berkuasa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Mohammed Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi mempertimbang untuk menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel.
Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dalam lawatan pertamanya ke Arab Saudi sejak hubungan kedua-dua negara dipulihkan Mac lalu berkata, negara Islam harus mengisytiharkan tentera Israel sebagai organisasi pengganas terhadap tindakannya di Gaza.-AFP
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM