Pemimpin perlu menghayati kesedihan dan kesusahan rakyat

 

1. Dalam interaksi Rasulullah ﷺ bersama sahabat, kita akan dapati bahawa Rasulullah ﷺ adalah seorang yang cakna tentang kehidupan harian para sahabat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah ﷺ melihat Abu Umayr berada dalam keadaan kesedihan.

2. Baginda lantas bertanya tentang burung peliharaan Abu Umayr. Menurut Anas, Abu Umayr memiliki burung dan dia sering bermain dengan binatang peliharaannya itu. Melihatkan kesedihan Abu Umayr, Nabi ﷺ bertanya akan perkara itu kerana Baginda memahami perihal sahabat Baginda. Bayangkan andai kesedihan disebabkan kehilangan binatang peliharaan pun Rasulullah ﷺ ambil berat, apatah lagi andai kecederaan atau kematian manusia.

3. Ketika berakhirnya perang Uhud, Rasulullah ﷺ dikatakan mendekati Saidina Jabir yang kehilangan ayahnya. Ayah kepada Saidina Jabir iaitu Abdullah bin Amru telah syahid di medan Uhud. Jabir menceritakan situasi ini:

لَمَّا قُتِلَ أَبِي جَعَلْتُ أَكْشِفُ الثَّوْبَ عَنْ وَجْهِهِ أَبْكِي وَيَنْهَوْنِي عَنْهُ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنْهَانِي

“Ketika mana terkorbannya ayahku, aku menyelak kain yang menutupi wajah ayahku dan aku menangis. Para sahabat melarangku daripada menangis sedangkan Rasulullah tidak melarangku.” (HR al-Bukhari)

4. Perhatikan bagaimana Rasulullah ﷺ menghayati kesedihan Saidina Jabir. Dibiarkan Jabir seketika yang sarat dengan emosi untuk melepaskan kesedihan yang terbuku kemudian barulah Baginda memenangkan dengan menyampaikan nasihat. Sungguh Baginda menghayati kesedihan rakyat.

5. Dalam banyak situasi, Rasulullah ﷺ dilihat berusaha untuk menghayati kesusahan rakyat, membantu mereka sedaya yang termampu dan menyantuni keperluan mereka. Sifat ini adalah fitrah semulajadi yang dianugerahkan kepada Baginda. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Saidatina Khadijah ketika wahyu mula-mula diturunkan. Kata Khadijah:

وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الحَقِّ

“Demi Allah, Allah tidak akan mensia-siakanmu. Sesungguhnya engkau adalah orang yang menghubungkan silaturrahim, membantu orang yang kesusahan, mengusahakan bagi yang kehilangan, menyantuni orang yang lemah, memuliakan serta membantu mereka yang menegakkan kebenaran. (Sahih al-Bukhari, no: 3)

6. Lihatlah bagaimana Khadijah menyebutkan satu-persatu karakter Rasulullah ﷺ ketika Baginda pulang dalam keadaan menggigil kerana pertama kali berjumpa dengan Jibril. Inilah karakter sebenar seorang pemimpin. Sebelum diangkat menjadi pemimpin lagi mereka adalah golongan yang amat suka membantu golongan yang susah dan memerlukan.

7. Begitulah Rasulullah ﷺsebagai seorang pemimpin yang menghayati kesedihan dan kesusahan rakyat. Janganlah pemimpin itu dilihat mempersenda atau tidak menjiwai kesedihan dan kesusahan rakyat. Jangan pula pemimpin itu sibuk berpolitik dalam keadaan rakyat mengalami kesusahan.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts