Pendakwah Islam antarabangsa puji keberanian, ketegasan Malaysia perjuang isu Palestin

MELAKA: Pendakwah Islam antarabangsa memuji keberanian dan ketegasan Malaysia, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak gentar berdepan tekanan dalam bentuk ugutan dan teguran kerana konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Mereka menganggap ketegasan dan keberanian yang ditunjukkan itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan wajar dicontohi pemimpin negara lain, khususnya negara Islam di seluruh dunia.

Pendakwah Indonesia, Al-Habib Hasan Jaafar As-Saggaf, berkata sikap ditunjukkan Perdana Menteri wajar disokong seluruh umat Islam, malah rakyat Malaysia digesa supaya sama-sama berjuang menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

“Tindakan pemimpin Malaysia adalah sesuatu yang luar biasa, malah rakyatnya juga bersatu hati untuk menyuarakan bantahan terhadap Israel yang secara terus menyerang Palestin. Itu satu daripada kekuatan Malaysia kerana doa dipanjatkan itu amat diperlukan oleh rakyat Palestin.

“Tak perlu takut,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah khas sempena program Malam Cinta Rasul: Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin di Masjid Cina Negeri Melaka di Krubong, di sini malam semalam.

Semalam, Anwar mendedahkan bahawa Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah berhubung kelantangan Malaysia memperjuangkan isu Palestin.

Perdana Menteri berkata, ugutan berkenaan adalah daripada seorang Ahli Parlimen Eropah yang mengusulkan sekatan terhadap Malaysia.

Namun, beliau menegaskan, Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak akan menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini.

Selasa lalu, Anwar mengakui ada menerima tekanan dalam bentuk teguran dan ugutan, namun Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau bukan individu yang mudah dikawal dan dipengaruhi pihak yang berkenaan.

Seorang lagi pendakwah Indonesia, Ali Zaenal Abidin Faisal Al-Madihij, berkata keberanian ditonjolkan Anwar bukti pemimpin Islam, khususnya di rantau ini tidak mudah mengalah dalam mempertahankan umat Islam di Palestin meskipun dengan ugutan serta teguran keras negara besar.

“Dalam hal ini, apa yang ditakutkan adalah sekiranya kita mengalah dengan ugutan, saya khuatir kita sendiri akan menerima musibah. Oleh kerana itu, jangan pernah rasa takut untuk saudara kita di Palestin.

“Mungkin disebabkan perjuangan kita itu, Allah memberikan negara kita aman. Justeru, jangan takut kerana perkara itu akan muncul di mana-mana jua, Allah mahu melihat adakah kita mampu bertahan atau sebaliknya,” katanya.

Pendakwah tempatan, Muhammad Hatta Abdul Rahim pula yakin rakyat Malaysia, khususnya umat Islam akan sentiasa bersama pucuk kepimpinan negara dalam mempejuangkan hak penduduk Palestin.

“Jika ditanya, adakah pemimpin negara perlu takut dengan ancaman Barat susulan penyertaan negara kita dalam membela umat Islam (di Palestin), saya rasa pemimpin kita tidak perlu risau.

“Kami di seluruh negara dan bermula di Melaka, insya-Allah akan sentiasa berada di belakang mereka demi untuk saudara kita di Palestin,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts